Impak Lawatan Najib Ke AS Buat Pembangkang Bergegar Sampai Hari Ini

Pada 12 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dijemput oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Rumah Putih.

Beliau disambut dengan baik dan penuh penghormatan oleh Trump serta barisan pentadbiran tertinggi negara itu. Sudah tentu ia merupakan satu kebanggaan kepada rakyat Malaysia kerana ia menunjukkan bahawa Trump menghargai Najib terutama dalam isu melibatkan hubungan dua hala, ekonomi dan politik.

Ternyata lawatan Najib ke AS itu memberikan impak yang cukup besar kepada Malaysia sehingga pembangkang sehingga kini terus memperkatakan mengenainya. Walaupun mereka mencari sudut yang negatif namun kita tahu, pembangkang telah `terduduk’ dengan lawatan terbabit.

Apa yang cuba mereka lakukan adalah mengkritik setiap keputusan yang dibuat dalam lawatan Najib ke Rumah Putih.

Hasilnya tuduhan yang dilakukan oleh pembangkang adalah kitar semula, iaitu kononnya cuba menjual negara. Kalau diikutkan, sejak tahun lepas mereka menuduh Perdana Menteri menjual kedaulatan negara tatkala Najib melawat China.

Tetapi tidak lama kemudian, Pulau Pinang pula berhasrat membuat pinjaman dari Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China).

Begitu juga dengan Selangor apabila Menteri Besarnya, Azmin Ali juga mengadakan lawatan ke China.

Itulah namanya hipokrit. Hakikatnya pemangkang tahu dalam dunia tanpa sempadan ini, Malaysia perlu mencari pelaburan dari luar dengan matlamat membawa pulangan demi kepentingan rakyat.

Tidak timbul isu melibatkan tuduhan jual negara. Itu hanya tuduhan yang dibuat oleh orang yang jahil sahaja.

Disebabkan mereka telah terduduk, pembangkang menjadikan isu pembelian pesawat boeing oleh MAS dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai isu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indutsri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu temubual dengan Utusan Malaysia baru-baru ini telah menyatakan bahawa cadangan pembelian kapal terbang Boeing dan Dreamliner ini penting untuk menggantikan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang sudah lama.

Dreamliner umpamanya merupakan antara pesawat yang paling canggih di dunia. Malah MAS juga perlu meneroka laluan-laluan antarabangsa yang baharu, apatah lagi untuk kekal bersaing dalam sektor penerbangan yang kian sengit dan mencabar.

Mengenai persoalan mengapa sejumlah wang yang cukup besar dibelanjakan di luar negara pula, Mustapa berkata, kesemua pelaburan ini merupakan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah syarikat seperti KWSP atau Khazanah Nasional menggunakan dana mereka sendiri.

“Ini bukan perkara baru kerana mereka sudah pun melabur di AS, misalnya KWSP telah mula melabur di AS sejak 2008 manakala Khazanah Nasional pula mempunyai pejabat di Silicon Valley sejak 2013. Pelaburan ini ditentukan oleh pihak pengurusan mereka dan mendapat persetujuan lembaga pengarah mereka sendiri.

“Malah, ia juga perlu mendapat kelulusan Bank Negara. Bagi KWSP misalnya, beberapa pelaburan mereka di luar negara mendatangkan pulangan yang lebih besar sekitar 11 peratus berbanding pulangan sekitar 5 peratus dari pelaburan dalam negara. Ini secara tidak langsung dapat memberikan dividen yang lebih baik kepada 14.7 juta pencarum KWSP,” katanya.

Justeru dapat disimpulkan bahawa pembangkang sudah kehabisan idea, sebab itu mereka cuba memainkan sentimen untuk membuatkan rakyat membenci Perdana Menteri. Namun permainan politik mereka ini gagal apatah lagi dengan masalah dalaman parti Pakatan Harapan sendiri.

ep2p-5small