Gadai Nyawa Gara-Gara Mahu Tuntut Hutang Pada Bekas Kekasih

Taizhou, China – Satu pasangan kekasih sanggup bergadai nyawa dengan berpaut pada bonet sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bergerak laju semata-mata mahu menuntut hutang dari pemandu.

Satu rakaman video keselamatan menunjukkan pasangan itu berpaut pada bonet SUV berwarna putih di sebuah lebuh raya di Taizhou di wilayah Jiangsu.

Dalam kejadian pada 19 September lalu kenderaan berkenaan bergerak sejauh tiga kilometer sebelum ditahan polis.

Media tempatan melaporkan, pemandu kenderaan itu adalah bekas kekasih wanita yang berpaut pada depan keretanya.

Wanita itu memberitahu polis, lelaki berkenaan berhutang sejumlah wang dengannya ketika mereka masih bercinta.

Selepas mereka berpisah wanita itu menuntut bekas kekasihnya membayar semula semua wang yang dipinjam.

Katanya, dia bersama kekasih barunya datang berjumpa lelaki itu untuk menuntut hutang berkenaan tetapi bekas teman lelakinya cuba melarikan diri.

Bagi menghalang lelaki itu melarikan diri wanita itu dan kekasihnya berdiri di depan SUV namun bekas teman lelakinya terus memecut kenderaannya.

Bekas teman lelaki wanita itu pula mendakwa dia membayar hutang berkenaan secara ansuran pada setiap bulan tetapi bekas kekasihnya itu tidak berpuas hati.

“Ketika kami bercinta saya mengalami masalah kewangan dan dia meminjamkan wang kepada saya.

“Kini selepas berpisah dan mempunyai kekasih baru dia menuntut saya menjelaskan semua hutangnya,” katanya.

ep2p-5small