Dulu Anwar Kata BNM Rugi RM30 Bilion – Raja Petra

Bekas Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri yang dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad – Datuk Seri Anwar Ibrahim – berbohong kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung nilai sebenar kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan forex era 1990-an.

Anwar ketika memberi keterangan kepada ahli panel RCI dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, kerugian BNM cuma RM5.7 bilion namun semenjak dipecat dari barisan menteri kabinet dan menyertai blok pembangkang mendakwa BMM kerugian lebih US10 bilion dolar (RM30 bilion nilai 1990-an) didalangi oleh Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Anwar perlu ingat apa yang beliau katakan kerana beliau telah bercanggah dengan dirinya sendiri banyak kali. Pada 2012 Anwar katakan kerugian dianggarkan US10 bilion dolar dan Mahathir terlibat, dan semalam (7 Sept) beliau katakan kerugian cuma RM5.7 bilion dan Mahathir tidak terlibat.

“Masalah Anwar adalah beliau tidak boleh bercakap perkara benar dan tiada apa yang keluar dari mulutnya boleh dipercayai,” kata penganalisis politik, Raja Petra Kamaruddin.

Turut mengakui BNM kerugian lebih RM30 bilion adalah bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Menurut Zeti, beliau mengetahui BNM kerugian RM32,074,000,000 semenjak beliau bertugas di bank pusat itu di London pada 1998.

“Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi tahun 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion.

“Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion,” kata Zeti kepada pasukan petugas RCI.

Pendedahan mengenai kegiatan dagangan mata wang forex dibuat oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, awal tahun ini yang mempertikaikan mengapa tiada tindakan dikenakan terhadap dalang yang menyebabkan negara kerugian lebih RM30 bilion.

Ujarnya, dagangan yang berlangsung ketika Dr Mahathir masih bergelar Perdana Menteri ini dikuburkan selama lebih dua dekad dan tidak pernah dibangkitkan.

Bekas Ketua Editor akbar Utusan Malaysia yang dilantik menjadi Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam pada itu turut mengakui bahawa BNM rugi lebih RM30 bilion – bercanggah dengan kenyataan Anwar.

Ujarnya, selepas meletakkan jawatan sebagai Penasihat Bank Negara, Nor Yakcop mengajaknya untuk bertemu dengan Dr Mahathir di Argentina yang pada waktu itu masih bergelar Perdana Menteri.

Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam berkata, pertemuan itu adalah bagi menjelaskan mengenai kerugian lebih RM30 bilion BNM dan Nor Yakcop mahu beliau menemaninya bertemu Dr Mahathir di Argentina.

“Saya menolak pelawaan Nor  kerana saya bimbang nanti Mahathir terkejut melihat kedatangan saya sedangkan yang dipanggil hanya Nor dan keduanya saya tidak ada wang untuk tambang penerbangan  dan ketiga  saya tidak sanggup untuk menghadapi penerbangan jauh lebih 20 jam.

“Beliau pergi seorang diri dan memulakan kerja menyiapkan  kertas kerja dalam satu malam  tidak lama selepas menemui Mahathir dan Mahathir begitu pantas mempelajarinya dan memulakan peperangan dengan Soros sebaik sahaja kembali ke tanah air,” kata Zam dipetik blognya.

Zam yang merupakan proksi Dr Mahathir mengakui bahawa Nor Yakcop telah menyebabkan negara kerugian RM30 bilion akibar daripada dagangan mata wang asing yang dilakukannya.

“Walaupun beliau telah menyebabkan negara  kerugian lebih 30  billion kerana perdagangan mata wang yang dikendalikannya  tetapi dengan pengalaman pahit inilah Nor Yakcop telah dapat membantu negara khususnya  Tun Dr.Mahatir untuk keluar dari krisis kewangan 1997 dan 1998  dan  menyelamatkan ratusan billion ringgit dari serangan penyangak  mata wang Soros,” kata Zam lagi. – mD

ep2p-5small