Dell Melancarkan Komputer Riba Siri Inspiron Dengan Cip Intel Core Gen-8 – Harga Bermula RM3599 – Amanz

Dell hari ini telah melancarkan komputer riba terbaru mereka dengan cip pemprosesan Intel Core generasi ke-8 dibawah siri Inspiron. Tiga model ditawarkan, iaitu Dell Inspiron 13 7000 2-dalam-1, Dell Inspiron 15 7000 2-dalam-1 dan Dell Inspiron 15 7000.

Siri Dell Inspiron ini dilihat ingin menawarkan kuasa pemprosesan yang baik pada harga yang lebih mampu-milik berbanding siri keluarga XPS.

Dell Inspiron 7000

Dell Inspiron 13 7000 2-dalam-1 hadir dengan skrin 13.3-inci FHD dengan sokongan skrin sentuh, menggunakan cip Intel Core gen-8 dalam pilihan Core i5 atau Core i7, memori 8GB RAM, dan ruangan storan berasaskan SSD 256GB. Pengguna turut boleh menambah-baik prestasi storan dengan menggunaakn storan berasaskan PCIe NVMe SSD.

Beberapa ciri-ciri menarik turut disertakan, termasuk kamera infra-merah untuk Windows Hello, ciri SmartByte untuk menawarkan pengalaman penstriman video yang lebih baik, serta integrasi Waves MaxxAudio Pro Audio. Dari segi penawaran bateri, Dell Inspiron 13 7000 (2-dalam-1) menawarkan masa penggunaan sehingga 8 jam 20 minit.

Komputer riba ini juga hadir dengan sokongan USB-C, selain sokongan Dell Active Pen untuk input. Ia turut menawarkan rekaan dengan bingkai yang nipis – tetapi tidak senipis XPS 13. Untuk model Dell Inspiron 13 5000 (2-dalam-1) pula, ia membawakan penawaran seperti model sedia ada di pasaran, tetapi dengan cip Intel Core Gen-8.

Bagi anda yang inginkan rekaan komputer riba tradisional dan bukannya inginkan komputer riba dengan rekaan 2-dalam-1, Dell menawarkan Dell Inspiron 7000 (7570). Menariknya adalah komputer riba ini turut hadir dengan sokongan kad grafik NVIDIA GeForce 940MX (4GB), serta menawarkan storan gabungan SSD dan HDD 1TB.

Dell Inspiron 15 7000 (7570) kini ditawarkan pada harga bermula RM4449, Dell Inspiron 13 7000 (2-dalam-1) pada harga bermula RM5449, dan Dell Inspiron 13 5000 (2-dalam-1) pada harga bermula RM3599.

ep2p-2