‘Saya Merayu, Tolong Berlakon Dengan ‘Mata’ – Haliza Misbun

Dikenali sebagai seorang pelakon yang lantang mengutarakan idea terutama membabitkan masa depan dunia lakonan tanah air, Haliza Misbun masih tidak berhenti daripada mengkritik lambakan pelakon baharu yang hanya bersandarkan kecantikan jumlah pengikut laman sosial, namun membelakangkan kualiti lakonan.

Ditemui pada majlis tayangan filem Pencuri Hati Mr. Cinderella di ibu negara baru-baru ini, Haliza meluahkan kekecewaan terhadap suasana industri lakonan tanah air kini yang disifatkan sudah tidak seperti dahulu. Ia kelihatan ‘murah’ dengan lambakan wajah pelakon kayu yang mengejar populariti, bukan prestasi lakonan yang memberangsangkan.

“Berlakon macam kayu tetapi sangat popular. Bagi saya itu amat menyedihkan. Kalau situasi begitu dibiarkan berlarutan sampai bila-bila, rosak masa depan industri lakonan tanah air kita.

“Zaman saya dahulu, seseorang pelakon itu perlu bekerja keras untuk diterima berlakon dalam sesebuah produksi. Perlu penuhkan ilmu di dada dahulu sebelum masuk set penggambaran.

“Berbeza dengan zaman sekarang, tunjuk cantik atau kacak sedikit di Instagram sudah boleh terus bergelar pelakon. Apa yang tidak sedap dilihat apabila kualiti lakonan yang dipaparkan di kaca televisyen mahupun di layar perak sangat menyedihkan,” ujar Haliza lantang, seperti memetik Kosmo.

Nostalgia

Sebelum ini, wanita berusia 45 tahun itu pernah menegur seorang pelakon di set penggambaran namun reaksi yang diterima membuatkan dia sudah letih dan lali untuk berbuat demikian.

“Saya tegur dengan cara baik untuk lebih memberikan impak terhadap lakonan. Namun, dia tidak dapat menerima teguran saya dan bertindak tidak mahu bercakap langsung dengan saya apabila ditegur.

Muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Pencuri Hati Mr. Cinderella, Haliza berharap watak Nurul yang cukup popular dalam drama bersiri Cinderella suatu ketika dahulu dapat direalisasikan semula ke layar lebar.

“Stesen televisyen pun perlu memainkan peranan yang penting. Saya pernah tegur, namun saya pula digam daripada membuat penampilan atau berlakon dalam stesen televisyen itu dalam jangka masa yang agak lama,” tuturnya.

Haliza menasihatkan pelakon baharu untuk memenuhkan diri dengan ilmu lakonan dan tidak hanya mengejar bilangan pengikut dalam laman sosial seperti Instagram.

“Saya merayu, tolong berlakon dengan ‘mata’. Maksud saya, kalau berlakon perlu betul-betul menekankan komitmen terhadap watak. Jangan ketika dalam set, fikiran entah ke mana melayang. Hasilnya, cacamarba watak yang cuba ditonjolkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Haliza mengimbau memori penonton apabila membuat penampilan istimewa dalam filem terbaharu berjudul Pencuri Hati Mr. Cinderella yang telah ditayangkan sejak 10 Ogos lalu.

Kata Haliza, gandingannya dengan Ahmad Idham yang pernah menjadi fenomena menerusi drama popular Cinderella yang disiarkan pada tahun 1998 benar-benar memberi kesan terhadap dirinya.

“Kalau watak Imran hidup dalam diri Idham sehingga ke hari ini, begitu juga dengan watak Nurul dalam hidup saya. Saya pasti rasa sebak bercampur gembira apabila dapat digandingkan semula.

“Siapa tahu mungkin akan ada kesinambungan kisah Imran dan Nurul di layar perak selepas ini. Hasrat untuk memfilemkan Pencuri Hati Mr. Cinderella pun tercetus selepas saya memujuk Idham. Kalau sambutan menggalakkan, saya ingin menterjemahkan semula watak Nurul,” tutup Haliza.

ep2p-5small