bazookapenaka.my | LaLiga Tolak Perpindahan Neymar

LaLiga enggan menerima bayaran klausa penebusan kontrak Neymar berjumlah €222 juta (RM1.12b) yang boleh menyekat hasrat pemain itu berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Peguam pakar sukan, Juan de Dios Crespo, tiba di ibu pejabat pengelola liga Sepanyol itu di Madrid pada hari ini untuk menyerahkan dokumen rasmi, termasuk cek pembayaran bagi melepaskan tonggak Brazil itu daripada perjanjian dengan Barcelona.

Begitupun, LaLiga enggan menerima bayaran itu. Dalam satu kenyataan LaLiga berkata: “kami boleh mengesahkan wakil sah pemain itu telah hadir di LaLiga untuk mengemukakan klausa pelepasan dan ia telah ditolak. Ini sahaja maklumat yang kami boleh berikan setakat ini.”

Sebelum ini, Presiden LaLiga, Javier Tebas, pernah mengancam untuk menghalang sebarang percubaan daripada PSG untuk memuktamadkan perjanjian itu dan akan membuat aduan kepada pihak peraturan perbelanjaan (FFP) Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sekiranya perlu.

“Kami tidak akan menerima wang daripada kelab seperti PSG yang bukan di bawah LaLiga untuk mengambil kesempatan ke atas hak organisasi kami,” katanya kepada AS.



“Andai UEFA tidak mengambil tindakan, kami akan segera membuka kes ini. Kami belum melakukannya lagi kerana kami fikir UEFA akan memastikan FFP dipatuhi dan perbelanjaan besar seumpama ini dielakkan.”

LaLiga dipercayai tidak mempunyai kuasa untuk menghalang penghijrahan Neymar jika PSG memenuhi tuntutan klausa itu.

Untuk itu, ia mungkin mendorong pemain dan penasihatnya meminta bantuan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membenarkannya membuat kemunculan sulung bertemu Amiens, Sabtu ini.

Semalam, Barca mengesahkan Neymar telah diketepikan daripada latihan bersama skuad utama berhubung hasratnya untuk berpindah.

PSG tidak membuat sebarang kenyataan mengenai perpindahan termahal dunia itu namun pemain berusia 25 tahun berkenaan dilaporkan berada di ibu negara Perancis itu untuk menyempurnakan perpindahannya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Porto.

Comments

comments

ep2p-5small