MADRID 21 Julai – Zinedine Zidane menamatkan segala skepulasi yang menyelubungi Cristiano Ronaldo apabila menegaskan, penyerang Real Madrid itu tidak akan meninggalkan Santiago Bernabeu dan keputusan tersebut muktamad.

Pemenang empat gelaran Ballon d’Or itu menjadi inspirasi Real ketika merangkul Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu, namun sejak Jun lalu dia dikatakan mahu meninggalkan Sepanyol kerana berdepan isu cukai dengan pihak berkuasa negara tersebut.

Menguatkan lagi spekulasi, Ro­naldo tidak menyertai Real yang kini mengharungi kempen pramusim di Amerika Syarikat kerana baru kembali daripada membantu Portugal dalam Piala Konfe­derasi.



Ketika rakan-rakannya beraksi di Los Angeles, dia sebaliknya menikmati percutian dan memuatnaik gambarnya di depan jet persendirian milik pengeluar barangan sukan gergasi yang juga penaja utamanya, Nike.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Zidane menegaskan, Ronaldo akan kembali.

“Dia sedang bercuti dan berehat. Dia berhak mendapat rehat.

“Spekulasi mengenai Cristiano? Tidak, semua tidak benar… semua laporan yang mengatakan dia akan meninggalkan Madrid. Dia akan kekal bersama kami dan itu adalah muktamad,” kata Zidane.

Nike mempunyai jet persendirian yang berpangkalan di Lapangan Terbang Hillsboro dan ia sering dijadikan pengangkutan peribadi buat orang-orang penting syarikat itu. – AGENSI

Comments

comments