Zainuddin Maidin Sindir Kelantan Lulus Hukuman Sebat Di Khalayak Ramai

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainudin Maidin secara sinikal mendakwa kelulusan hukuman sebat di khalayak ramai oleh DUN Kelantan, semalam, sebagai tarikan baru pelancong ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menerusi posting blognya hari ini, Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam berkata, perkhabaran ini merupakan berita gembira kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz ekoran hukuman sebat ini akan membawa jumlah pelancong banyak ke Kelantan.

“Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz tentulah sangat gembira dengan langkah Kerajaan PAS Kelantan hendak melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah RUU355 (Tatacara Hukuman Jenayah Syariah2002(Pindaan2017) bila dikuatkuasakan di Kelantan kelak.

“Ini akan menjadi produk baru pelancongan Malaysia untuk dijual oleh Nazri di luar negara  bagi membolehkan orang bukan Islam terutama dari negara maju menyaksikan hukuman ikut cara kuno dan barbaric di sebuah negara demokrasi dan  moden Malaysia,” kata Zam.

DUN Kelantan, semalam, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah syariah dijalankan di tempat terbuka.

Kelulusan pindaan enakmen berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN Kelantan, DAtuk Abdullah Ya’kub selepas mendapat keputusan sebulat suara seluruh ahli dewan termasuk ADUN Barisan Nasional (BN).

Zam menerusi tulisan sindiran terhadap hukuman berkenaan jelas mengkritik usaha PAS Kelantan untuk melaksanakan hukuman berlandaskan syariah Islam sebagai persiapan sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat.

“Walaupun ini dilaksanakan di Brunei dan Arab Saudi tetapi perlaksanaannya di Malaysia adalah lebih menarik perhatian kerana kedua negara itu bukan negara demokrasi sebaliknya negara pemerintahan beraja.

“Pelancong-pelancong bukan Islam yang tidak dapat menyaksikannya di tanah haram Arab Saudi tentulah akan bertumpu ke Malaysia kerana disini tidak ada sekatan,” sindir orang kuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Tambah Zam, sungguhpun hukuman ini hanya dijalankan di sebuah negeri, impaknya akan terbit ke seluruh Malaysia lantas memburukkan imej kerajaan pusat yang membenarkan hukuman yang disifatkan Zam sebagai mundur dan tidak bertamadun.

“Dunia tentu tertanya bagaimana sebuah kerajaan negeri yang dogmatik, mundur dan miskin boleh menekan Kerajaan Pusat dibawah pimpinan golongan terpelajar.

“Lebih menyedihkan ialah penguatkuasaaan undang-undang ini kelak merupakan  pengkhianatan terhadap  perjuangan dan asas kemerdekaan negara yang diletakkan oleh  pengasas-pengasas   UMNO terutama Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail yang telah membina imej  perkongsian kuasa untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bertoleransi , harmony,liberal , moden dan demokratik yang setaraf dengan negara-negara maju lain di dunia,” kata Zam lagi. – mD