Skuad B-22 Tagih Ihsan P.Pinang, Pahang

PETALING JAYA: Tempoh tinggal dua hari sahaja lagi tapi masih belum ada khabar pasti daripada pasukan negeri mahu pun kelab yang pemainnya disenarai untuk menyertai latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara.

Namun pengurus skuad B-22 negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi tetap yakin senarai 26 pemain itu akan dilengkapkan pada 12 Julai ini, sehari sebelum perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Myanmar.

“Kita tunggu sehingga 12 Julai ini untuk tengok komitmen setiap pemain yang dipanggil. Tapi pada pendapat saya, 90 peratus akan melaporkan diri sebelum aksi persahabatan menentang Myanmar pada 13 Julai ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Jelas beliau, setakat ini hanya pasukan Pulau Pinang dan Pahang yang masih belum memberi pengesahan untuk melepaskan pemain mereka.

“Beberapa pasukan sudah memberi maklum balas mereka cuma Pulau Pinang dan Kelantan yang masih belum berbuat demikian,” katanya.

Susulan itu, Mohd Yusoff mengharapkan ihsan daripada kedua-dua pasukan terbabit supaya melepaskan pemain yang dipanggil demi kepentingan negara.

“Kita faham masalah yang dihadapi Pulau Pinang dan Pahang tapi kita sudah bagi ruang kepada mereka sehingga 12 Julai ini. Kita harap mereka juga fikir untuk membina pasukan yang kuat kita perlukan pemain-pemain terbaik di negara kita.

“Jadi kita masih mengharapkan ihsan daripada kedua-dua pasukan itu untuk lepaskan pemain yang dipanggil. Cuma saya minta jangan salahkan jadual yang padat tapi fikirkan kepentingan skuad B-22 negara,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , Datuk Hamidin Mohd berkata kesemua 26 pemain yang dipanggil perlu berkumpul sepenuhnya pada Rabu ini.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil sekiranya Pulau Pinang dan Pahang tetap enggan melepaskan pemain mereka, Hamidin berkata: “FAM tidak ada hak menjatuhkan sebarang hukuman kerana ianya tidak ada dalam kalendar Fifa.



“Cuma sekali lagi saya harapkan pemahaman semua pihak demi negara,” katanya.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee yang turut dikenali sebagai skuad Projek Sukan SEA akan mengharungi aksi persahabatan menentang skuad B-22 Myanmar pada Khamis depan di Stadium Shah Alam sebelum bertolak ke Bangkok untuk kelayakan Kejohanan AFC B-23 bermula dari 19 hingga 23 Julai ini.

Pada Khamis lalu, selepas hanya enam daripada 26 pemain skuad Bawah-22 (B-22) melapor diri di kem latihan pusat bagi mengharungi kempen kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Thailand, kini hanya tinggal dua pemain yang masih berada di kem itu.

Ia berikutan permintaan daripada pasukan Terengganu, Felda United, Selangor dan Kuala Lumpur supaya pemain masing-masing dapat diturunkan bagi aksi Piala Malaysia hujung minggu lalu dan Liga Malaysia pada pertengahan minggu ini.

Dua pemain yang kekal di FAM buat masa ini ialah pemain dari Selangor, Muhammad Syahmi Safari dan Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak, yang akan menjalani latihan rehabilitasi bersama pegawai dari Institut Sukan Negara.

Senarai panggilan pemain Skuad B-22:

Kedah: Ifwat Akmal Chek Kassim, Ariff Farhan Md Isa, Farhan Roslan, Syafiq Ahmad dan Amirul Hisyam Awang Kechik.

Pulau Pinang: Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew.

Selangor: Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari.

Pahang:Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih.

Johor Darul Ta’zim:Safawi Rasid dan Naziq Nadzli.

Felcra FC: Adib Zainudin dan N Thanabalan.

Felda United: Danial Amier Norhisham.

Kuala Lumpur: Irfan Zakaria.

Sarawak: Tommy Mawat Bada.

Perak: Ahmad Khairil Anuar Zamri.

JDT II: Syazwan Andik Ishak.

PKNP FC: Syazwan Zaipol Bahari.

Terengganu: Amierul Hakimi Awang.

T-Team: Arif Fadzillah Abu Bakar.

PJ Rangers: Raphi Azizan Mariappen.

Kelantan: Danial Ashraf Abdullah.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/07/10/harap-ihsan/#FJ4Q4smIwH0VTqM1.99

Comments

comments

ep2p-5small