Populariti Boleh Membunuh – Ed Sheeran

PENYANYI berusia 26 tahun ini mula membuka mata banyak pihak dengan bakat nyanyian dan muziknya ketika dia hadir dengan single berjudul The A Team sekitar 2010.

Bermula dari situ, nama Ed Sheeran mula mekar sebagai seorang penyanyi yang berpotensi dalam industri muzik antarabangsa biarpun dia tidak memiliki rupa paras yang tampan sebagai nilai tambahan pada karier seninya.

 

Dari semasa ke semasa, Ed berjaya meraih kelompok peminat tersendiri lantaran ramai yang menganggap dia adalah antara pemuzik yang karyanya menyentuh perasaan dan punya identiti sendiri.

Bagaimanapun, berada dalam lingkungan populariti menyebabkan dia sebagai seorang individu yang bimbang untuk berdepan dengan situasi sesak dengan tanggapan suka dan benci orang pada dirinya.

“Sebelum serius dalam bidang ini, belum pernah sekali pun saya berdepan dengan golongan pendengar yang membenci dan menyukai saya dalam masa yang sama. Kedua-duanya kelihatan sangat ekstrem.

“Bagi saya, susah juga apabila meraih populariti kerana ia sebenarnya boleh membunuh. Bayangkan, ada orang yang benar-benar benci saya sehingga tergamak mahu saya mati dan dalam masa yang sama ada peminat yang begitu memuja saya sebagai idola mereka.

“Ia pelik kerana saya faham, pada dasarnya tidak semua orang akan sukakan muzik saya tetapi tak perlulah sampai mengkritik sebegitu sekali dan mahu melihat saya gagal. Mereka lupakah bahawa saya juga manusia?”katanya, kecewa.

Ed percaya, satu cara untuk menutup mulut jahat mereka adalah dengan terus menunjukkan kejayaan yang mana ia juga adalah satu cabaran buatnya.

Kerana berdepan dengan situasi kebencian orang terhadap dirinya jugalah menyebabkan Ed baru-baru ini membuat keputusan menutup akaun Twitter kerana terlalu meluat dengan komen-komen negatif pembuli dan pembenci dirinya di media sosial.

“Kadang-kadang saya tak faham kenapa ada orang yang suka membuli di media sosial. Menerusi perkataan yang digunakan, kelakuan mereka, semuanya mencerminkan negativiti pada diri sendiri.

“Sedangkan saya hadir di dalam industri ini sekadar ingin berkongsi muzik saya dengan semua,”katanya.

Selain The A Team, Ed juga popular dengan lagu berjudul Lego House, Thinking Out Loud dan yang terbaru adalah menerusi single berjudul Shape Of You dan Castle on The Hill.-Utusan