Iklan Raya TNB 2017 Paling Popular

Google Malaysia menyiarkan senarai 10 iklan YouTube paling popular bagi Januari hingga Jun 2017 berdasarkan jumlah tontonan, populariti serta promosi.

Google Malaysia dalam satu kenyataan semalam berkata, antara iklan paling popular itu ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kentucky Fried Chicken (KFC) Malaysia, Samsung Malaysia, MyEG dan McDonalds, seperti yang dilaporkan Kosmo.

Menurutnya, iklan hari raya TNB menduduki tempat pertama dengan tontonan seramai 1.9 juta, diikuti iklan promosi KFC (1.3 juta tontonan) dan iklan perkhidmatan Samsung Malaysia (768,845 tontonan).

“Iklan-iklan ini menunjukkan bahawa wujudnya kreativiti yang mengujakan dalam industri pengiklanan di Malaysia,” kata kenyataan berkenaan.

Pada 24 Jun lalu, Kosmo! melaporkan iklan hari raya TNB berjudul Dugaan Raya Aida mencipta sejarah apabila mencatatkan rekod sebanyak 11 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram pada 14 Jun lalu.