Ugut masuk mercun ke mulut, enam dituduh rogol gadis

Seramai enam suspek kes rogol berkumpulan di Pasir Mas, Kelantan dihadapkan ke muka pengadilan kerana didakwa merogol seorang pelajar perempuan awal bulan ini.

Salah seorang suspek yang berkenalan dengan mangsa telah mengajak mangsa keluar makan rojak sebelum membawanya ke sebuah pondok yang ditunggu oleh rakan-rakan sejenayahnya yang lain untuk merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas mangsa.

Mereka didakwa merogol berkumpulan gadis 17 tahun itu antara jam 1 hingga 3 pagi di kubur Cina Pasir Parit di sini 3 Jun lalu.

Mohamad Nurruddin Mohd Fauzi, 22, Muhammad Yusuf Danial Luqman, 21, Che Kamarul Aiman Che Rasid, 20, Mohamad Tasyrik Mahmud, 20, Muhamad Alif Asmawi Othman, 20, dan Wan Hazaki Wan Hanafi, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan. Ia memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hinga 30 tahun dan juga sebatan.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan gadis itu diugut akan dimasukkan mercun bola ke dalam mulut jika enggan mengikut kehendak mereka.

Mangsa pada mulanya keluar bersama seorang tertuduh, yang juga teman lelakinya, sebelum dibawa ke sebuah pondok di lokasi kejadian.

Polis Kelantan berkata lima rakan teman lelakinya telah menunggu di situ.

“Disebabkan takut, mangsa cuba melarikan diri dan menjerit meminta tolong tetapi tidak berjaya,” pemangku ketua polis Kelantan SAC Din Ahmad dilapor berkata.

“Dia ditangkap sekumpulan lelaki berkenaan dan diugut akan dimasukkan mercun bola ke dalam mulut sekiranya melawan.”

Mangsa kemudian meminta teman lelakinya menghantar ke rumah rakan pada jam 4 pagi sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Panar, Tanah Merah.

Selain itu, Mohamad Nuruddin juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan seks oral pada mangsa di lokasi sama pada jam 3 pagi.

Kesalahan itu didakwa menurut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 5 hingga 20 tahun bersama sebatan.

Comments

comments

ep2p-2