Tindakan Undang-Undang Sivil Jabatan Kehakiman US – Kenyataan Akhbar

TINDAKAN UNDANG-UNDANG SIVIL JABATAN KEHAKIMAN U.S.:
KENYATAAN SETIAUSAHA AKHBAR PERDANA MENTERI

16 Jun 2017

1. Kami maklum tentang tindakan undang-undang sivil terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terhadap pelbagai aset. Kerajaan Malaysia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada sebarang penyiasatan yang sah daripada syarikat-syarikat atau warga Malaysia mengikut protokol antarabangsa. Oleh itu, kami kecewa bahawa sekali lagi DOJ telah gagal untuk mendapatkan kerjasama itu daripada kerajaan Malaysia atau 1MDB, syarikat Malaysia yang terlibat.

2. Kami juga kecewa dengan penamaan perkara-perkara dan individu tertentu yang tidak perlu dan tanpa sebab yang hanya berkaitan dengan manipulasi dan gangguan politik domestik. Ini menunjukkan motivasi yang melampaui matlamat untuk merampas aset.

3. Terdapat banyak siasatan meluas oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas 1MDB, termasuklah oleh badan-badan bebas dan dwipartisan seperti Jawatankuasa Kira-kira Awam, dan tiada jenayah yang ditemui. 1MDB masih subjek siasatan oleh Polis Diraja Malaysia. Jika terdapat bukti salah laku, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

4. Sehingga itu, dakwaan yang tidak terbukti tidak boleh diambil sebagai fakta. Dan kami maklum dengan kenyataan akhbar DoJ sendiri, yang menyatakan bahawa “Aduan pelucuthakan sivil hanyalah semata-mata dakwaan bahawa wang atau harta itu terlibat dalam atau merupakan hasil jenayah. Tuduhan ini tidak terbukti sehinggalah keputusan penghakiman mahkamah memihak kepada AS”.

5. Tajuk utama tidak memberi impak kepada proses kehakiman. Malaysia tetap teguh dalam sokongannya terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik. Ini termasuk memastikan tuduhan mempunyai asas yang sebenarnya, bukannya tuduhan yang dibuat oleh musuh-musuh politik. Kami yakin bahawa keadilan akan menjalankan peranannya dan Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua agensi antarabangsa yang bersedia. Seperti yang sentiasa telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.

DATUK SERI TENGKU SARIFFUDDIN,
SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA PERDANA MENTERI