Sherry Terharu Rakan Carikan Calon Suami

KUALA LUMPUR: Pelakon, pelawak dan hos, Sherry Al Hadad, 33, menghargai usaha rakan yang cuba mencarikan calon suami namun lebih selesa berpegang kepada ketentuan Ilahi soal jodoh.

Pemilik nama penuh Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 33, itu reda masih berstatus solo pada usia ini kerana yakin Allah memberikan rezeki kepada setiap insan dalam pelbagai cara.

“Saya berterima kasih kepada kawan yang tidak berputus asa mencarikan teman buat saya. Cuma belum ada yang serasi dan tidaklah saya terbeban mahu segera berumahtangga.

“Jodoh dan ajal semuanya sudah tertulis. Siapa kita mahu mempersoalkan ketentuanNya. Malah kebahagiaan juga diberikan dalam aneka cara termasuk kesihatan, rezeki dan sebagainya.

“Bagi saya tentu ada sebab jodoh itu datang lambat. Mungkin buat masa ini saya perlu melunaskan dulu tanggungjawab sebagai anak untuk menjaga ibu kerana itu lebih penting,” katanya di majlis prebiu program Syawal TV3 dan TV9.

Mengakui rezeki lebih berpihak kepadanya sepanjang Ramadan, Sherry Alhadad memaklumkan terpaksa berehat daripada menjual kerepek rumpai laut yang diusahakan bersama teman rapat sejak dua tahun lalu.

Katanya, berbanding menyerahkan sepenuh tanggungjawab pemasaran dan jualan kepada orang lain, lebih baik perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan sepenuh hati itu disambung pada musim hadapan.

“Sebenarnya saya dan teman rapat, Aqila yang sama-sama bersengkang mata menghasilkan sendiri kerepek rumpai laut itu. Kiranya produk makanan yang dikeluarkan itu adalah hasil air tangan bersama.

“Cuma tahun saya tiada masa. Selepas berbincang dengan Aqila, kami putuskan tidak perlu mengambil pekerja untuk membuat kerepek itu disebabkan bimbang rasanya berbeza,” kata Sherry lagi.-BHarian