Kes Babitkan Persatuan Kebangsaan Ini Yang Pertama Kali

Isu tunggakan gaji membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan bekas pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Frank Bernhardt disifatkan sebagai memalukan kerana kes seumpama itu tidak pernah berlaku di rantau ini.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan berkata, sepanjang 29 tahun bersama badan itu dari 1978-2007, beliau tidak pernah berdepan isu mengenai kegagalan persatuan bola sepak sesebuah negara menyelesaikan tunggakan gaji kepada jurulatih atau pemain.

“Ketika zaman saya dulu, kami (AFC) banyak menerima aduan mengenai hutang antara jurulatih dan pemain dengan kelab saja, tapi kes membabitkan persatuan kebangsaan ini yang pertama kali.

“Sudah tentu jika benar FAM tidak membayar pampasan gaji bekas jurulatih itu (Bernhardt), ia memalukan nama Malaysia serta AFC sekiranya kes berkenaan dibawa ke pengetahuan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bernhardt, pengendali dari Jerman yang pernah membimbing skuad remaja Estonia itu, sebelum ini dipecat Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mac lalu tanpa sebarang perbincangan.



Ketika itu Bernhardt baru selesai menjalankan tugas bersama pasukan B-22 yang juga dikenali dengan Skuad Projek Sukan SEA di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana menyertai kejohanan di negara itu.

Nyata, tindakan berkenaan dianggap salah dari segi peraturan (penamatan kontrak) yang ditetapkan FIFA.

Bernhardt, 47, dipercayai menerima gaji RM70,000 sebulan dan FAM harus membayar pampasan hampir RM700,000 berdasarkan baki kontraknya sehingga penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, difahamkan FAM hanya menawarkan tiga bulan gaji terhadap Bernhardt dengan beliau dilaporkan masih belum menerima tunggakan gajinya itu.

Kegagalan membayar pampasan itu mendorong beliau untuk membawa kes berkenaan kepada FIFA jika tiada jalan penyelesaian.

“Saya harap isu ini dapat diselesaikan tanpa pembabitan FIFA. Jika tidak, seluruh Asia akan malu dengan isu dicetuskan FAM ini,” kata Velappan.

AFC tak pernah berdepan isu kegagalan persatuan bola sepak negara menyelesaikan tunggakan gaji
kepada jurulatih atau pemain

Comments

comments

ep2p-5small