Tindak-Tanduk PKR Tak Menguntungkan Islam, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR – Terpulang apa sahaja pendirian PKR, namun PAS tetap bertegas keputusannya memutuskan tahaluf siyasi adalah kerana pelanggaran syarat tahaluf oleh parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Hal itu ditekankan Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan menambah, PKR hanya bekerjasama dengan partinya atas keuntungan sebelah pihak sahaja.

“Syarat yang paling penting dalam tahaluf siyasi mestilah menguntungkan Islam. Maka kerana itulah jika dilihat dari segi tindakan dan sikap diambil PKR sebelum ini, ia dilihat tidak menguntungkan Islam dan PAS sendiri.

“PKR sebagai sebuah parti yang pragmatisme, yang mana menguntungkan ia ambil, yang tak menguntungkannya tak ambil,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Khalil berkata demikian mengulas kenyataan PKR, malam tadi bahawa ia menolak alasan PAS memutuskan tahaluf siyasi antara dua parti berkenaan.

PAS sebelum ini mendakwa PKR melanggari beberapa syarat kerjasama termasuk tidak menyokong pindaan Akta 355 dan menjalin kerjasama politik dengan DAP dan Amanah di dalam Pakatan Harapan (PH).

Wan Azizah, yang juga Presiden PKR selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik malam tadi bagaimanapun menyatakan pihaknya menerima keputusan yang diambil PAS sejak ia diumumkan Khamis lalu.

“Dalam isu RUU 355, ia perkara yang sangat penting bagi PAS sebagai agenda memperkasakan pelaksanaan syariah dan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah. Sikap PKR sendiri mendukacitakan kita. Tidak menyatakan sokongan yang jelas, walaupun mereka kata ada kenyataan daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Namun saya kira ia satu pendirian yang tidak kukuh dan jelas untuk menyokong RUU 355. Dan ia terbukti ketika Presiden PAS membentangkan RUU di parlimen, jelas sikap yang diambil ahli-ahli parlimen PKR yang tidak menunjukkan bangkangan mereka terhadap kebiadapan yang dilakukan ahli-ahli parlimen DAP yang menentang sekeras-kerasnya.

“Isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, yang mana beliau dipilih secara demokrasi oleh rakyat dan ia adalah calon yang dipersetujui bersama, khususnya PAS.

“Dengan agenda politik PKR, Khalid dipecat sebagai MB Selangor. Sedangkan di sana tidak ada bukti kukuh, walaupun ada kelemahan Khalid. Namun selepas itu ia terbukti apabila tuduhan yang dilemparkan terhadap Khalid tidak benar,” tegas Khalil.

PKR dalam keputusan mesyuaratnya juga mengarahkan kesemua wakil partinya di dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan masing-masing, yang sebelum ini dilantik sebagai penyelaras di beberapa kerusi DUN dan menjadi ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Gesaan itu pada awalnya disuarakan bekas senator PKR, Saiful Izham Ramli yang mahu wakil parti itu di Kelantan mengosongkan lantikan politik, jika mahu tiga exco PAS di Selangor berbuat perkara yang sama.

Khalil ketika diajukan hal itu berkata PAS menunggu reaksi balas daripada wakil PKR di Kelantan selepas ‘arahan’ daripada pimpinan tertinggi parti tersebut.

“Siapa yang melantik mereka? Di Kelantan yang melantik mereka adalah kerajaan negeri. Selagi mana mereka memberikan khidmat terbaik maka tak ada sebab kita pecat mereka, melainkan mereka hendak letak jawatan. Hingga kini saya tak mendapat maklumat dari PKR Kelantan.

“Jika mereka tidak letak jawatan, bermakna mereka lebih selesa dengan PAS berbanding PKR, di Kelantan. Di Selangor, sebagaimana keputusan diambil PAS, exco-exco kita akan meneruskan kerja masing-masing, tak perlu letak jawatan kerana mereka tidak dilantik oleh PKR, DAP,” ujarnya.

PAS akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusatnya esok bagi memutuskan kedudukan tiga exconya di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Begitu juga di peringkat negeri berkenaan, kedudukan tiga exco PAS kekal sehingga Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadap Sultan Selangor selepas kembalinya beliau daripada lawatan rasmi di luar negara kelak. – Antarapos