Tan Cheng Hoe Masih Tunggu Kontrak

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe (kiri) berharap dapat memuktamadkan kontraknya sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya minggu ini selepas melaporkan diri di Wisma FAM, Khamis lalu.

Beliau sudah bersedia untuk memulakan tugas sekali lagi bersama skuad kebangsaan apatah lagi dilaporkan bergandingan bersama ketua jurulatih dari Portugal yang identitinya akan diumumkan oleh FAM sedikit masa lagi.

“Saya sudah melaporkan diri di Wisma FAM Khamis lalu, tapi saya belum memulakan tugas lagi kerana masih menunggu perbincangan mengenai kontrak.

“Datuk Hamidin Mohd Amin (Setiausaha Agung FAM) berada di luar negara minggu lalu jadi mungkin minggu ini baru boleh berbincang.

“Apa saja tugas yang perlu saya lakukan, saya perlu menunggu arahan daripada pihak pengurusan,” katanya kepada Arena Metro semalam.





Tugas di FAM bukan sesuatu yang asing buat Cheng Hoe kerana pernah menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal sebelum ini.

Ketika zaman itu, beliau berjaya membantu Rajagobal mencipta kejayaan merangkul pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010.

Ketika waktu semakin singkat menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun ini, Cheng Hoe dijangka akan memainkan peranan lebih besar memandangkan Harimau Malaya ketika ini masih belum memiliki jurulatih.

Hanya yang diketahui pengendali menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee itu berasal dari Portugal.

“Ya, apa yang kita tahu jurulatih itu dari Portugal, berdebar juga, tapi ini pengalaman baru untuk saya dapat bekerjasama dengan jurulatih dari luar,” ujarnya.

Hmetro

Comments

comments

ep2p-5small