Orang Kota Bharu, K.Terengganu Paling Ramai ‘Cari’ Maria Ozawa

Maria Ozawa memang kegilaan orang Asia. Sembilan negeri di Asia Tenggara mendominasi ranking sembilan teratas dalam carta carian berkaitan bekas bintang porno dari Jepun itu.

Tiga negara majoriti umat Islam – Indonesia, Malaysia dan Brunei – menduduki tangga teratas, diikuti Filipina – negara tempat tinggal aktres filem dewasa itu.

Carian Internet semasa untuk Maria juga menunjukkan peningkatan lebih 75 peratus. Sebelum ini carian tertinggi untuk Maria hanya pada paras 25 peratus, iaitu antara 8 hingga 14 Januari lalu.

Bagaimanapun, dari manakah datangnya carian ini?

Data Google Trends – setakat laporan ini ditulis – menunjukkan carian paling banyak dibuat di bandar-bandar kecil iaitu Kota Bharu dan Kuala Terengganu dengan masing-masing di tangga pertama dan kedua.

Ia kemudian diikuti oleh Kuantan, Kuching dan Kuala Lumpur yang hanya berada di tangga keenam.

Carian berdasarkan subwilayah pula menyaksikan Labuan di tempat pertama, diikuti Kelantan (2), Terengganu (3), Sabah (4) dan Pahang (5).

‘Sedia berkhidmat untukmu’

Sementara itu, di laman sosial, sejak beberapa hari lalu telah tercetus trend carian menggunakan hashtag #mariaozawa.

Ia bermula apabila Maria, 31, dua hari lepas bergambar di depan iklan minuman di Kuala Lumpur bertulis “we are ready to serve you soon” (kami sedia berkhidmat untukmu).

“Helo Kuala Lumpur,” tulis Maria wanita 31 tahun kacukan Jepun-Kanada dalam bahasa Inggeris pada akaun Instagramnya.

Di Kuala Lumpur, Maria juga mengakui berasa seperti berada di Manila kerana ramai orang Asia di negara ini.

Tulisan itu kemudian mengundang pelbagai reaksi, termasuk mesej-mesej miang dan gatal.

Maria kemudian terus memuat naik banyak lagi gambar sempena kunjungannya di sini, termasuk terbaru gambar berbikini di kolam renang semalam. – Mkini