Lelaki Cedera Parah Dibelasah Geng Bekas Penyanyi Rock

SUNGAI BULOH — Seorang pemuda cedera parah dibelasah separuh mati dan dijirus air panas menggelegak ke muka dan kepalanya oleh sekumpulan lelaki.

Pemuda itu, 25 tahun, didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri bekas penyanyi kumpulan rock yang dalam proses bercerai, lapor Harian Metro.

Mangsa dibelasah kira-kira 10 lelaki lebih kurang jam 1 pagi semalam di Paya Jaras yang dipercayai didalangi suami wanita itu, bekas guru sekolahnya.

Bapa mangsa Ab Latif Mohd Nor, 58, berkata beliau hampir tidak mengenali anaknya yang terduduk lesu, muka dan badannya bengkak dibelasah dan melecur.

“Keadaannya amat menyedihkan dan anak saya menggigil menahan kesakitan,” katanya kepada akhbar itu.

“Saya sebak tetapi perlu kuat untuk membawa dia keluar daripada ‘tawanan’ sekumpulan lelaki yang membelasahnya separuh mati.”

Ab Latif turut merayu dan berunding selama sejam dengan kumpulan yang bersenjatakan kayu itu walau  memikirkan risiko dibelasah.

“Saya bersalaman dengan mereka dan merayu supaya melepaskan kami dan berjanji tidak berkunjung ke kampung berkenaan,” katanya.

Pemuda itu pernah dinasihatkan agar tidak terbabit dalam konflik rumah tangga pasangan itu.

Polis Sungai Buloh menahan tujuh lelaki, antara berusia 30 hingga awal 50-an, termasuk suami wanita itu kerana disyaki menyerang mangsa.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atau kesalahan merusuh. – Malaymail