Kongsi Kerja Amal

Prihatin dengan nasib penduduk sebuah kampung di India, penyanyi seksi Nicki Minaj menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan mereka.

Berkongsi kerja amalnya di laman Instagram, Ahad lalu, penyanyi Anaconda itu berkata, bantuan wang diberikan berjaya memperbaiki kehidupan penduduk kampung berkenaan.

“Perkara seperti ini membuatkan saya bangga. Wang yang saya hulurkan kepada penduduk kampung di India sejak beberapa tahun lalu melalui Pastor Lydia Sloley membolehkan mereka membuka pusat komputer, institusi menjahit, program membaca dan dua perigi.

“Kita selalu merungut mengenai perkara kecil sedangkan ada individu tidak dapat menikmati air bersih,” katanya.

Berjanji untuk banyak berkongsi mengenai kerja amalnya, Nicki turut mengalu-alukan pengikutnya untuk menyertainya pada masa depan.

Pemilik nama sebenar Onika Tanya Maraj ini turut memuat naik gambar memaparkan sekumpulan wanita India bersembahyang.

Awal bulan ini, penyanyi berkenaan membantu melangsaikan pinjaman pendidikan serta menghadiahkan buku teks kepada penuntut kolej yang menghadapi masalah kewangan.

“Saya gembira dan membuat beberapa bantuan bayaran dalam masa terdekat ini. Saya ingin memaklumkan akan melancarkan program amal rasmi saya untuk pinjaman pelajar dan bayaran tuisyen tidak lama lagi.

“Anda boleh daftar dan saya akan mengemas kini maklumat mengenai program ini,” katanya.

Mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Nicki berkolaborasi dengan Katy Perry untuk single baru berjudul Swish Swish.

Selain itu, dia turut membuat persembahan di Anugerah Muzik Billboard 2017 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, Ahad lalu.-Hmetro