bazookapenaka.my | Pemain Kedah Terima Habuan

SULTAN Kedah  Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah malam ini berkenan menyampaikan ganjaran RM20,000 kepada setiap pemain bola sepak Kedah selepas memenangi Piala FA menewaskan Pahang Sabtu lalu.

Turut memperoleh habuan ialah pasukan kejurulatihan yang membabitkan nilai keseluruhan RM448,000.

Baginda menyampaikan ganjaran itu pada majlis santapan malam meraikan pasukan Helang Merah di Dewan Santapan Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam ini.

Turut berangkat hadir Sultanah Kedah Sultanah Haminah.

Selain itu Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah turut sama berangkat hadir.

Pengurus pasukan Kedah Datuk Jeffry Low Hang Chow dan Kapten Helang Merah Khairul Helmi Johari mengetuai pemain mempersembahkan Piala FA buat tatapan Sultan Abdul Halim yang juga peminat nombor satu bola sepak Kedah.

Pada majlis itu juga, baginda diiringi Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut



Kedah menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam untuk menjuarai Piala FA kali keempat selepas kejayaan pada 1996, 2007 dan 2008.

Ahmad Bashah berkata, kejayaan ini adalah kali ketiga buat pasukan dalam tempoh tujuh bulan setelah berjaya memenangi Piala Malaysia pada  Oktober 2016 dan juga Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) pada Januari 2017 dan juga kejuaraan keempat sejak ditabal menjadi juara Liga Premier pada  Ogos 2015.

Menurutnya, kejayaan demi kejayaan itu membuktikan betapa seriusnya KFA dalam membentuk sesebuah pasukan yang mantap berasaskan acuan sendiri.

“Secara tidak langsung KFA membuktikan bahawa kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya mampu dicapai berdasarkan kedudukan kewangan yang mewah namun ia juga bergantung kepada iltizam pihak pengurusan yang mengurus pasukan secara berhemah selain kemampuan pemain yang dapat menterjemahkan kesungguhan melalui watak sang juara ketika berada di atas padang.

“Faktor itu menjadikan kita kembali gah sebagai gergasi besar di Liga Malaysia selepas agak suram pencapaiannya sejak dari musim 2009 yang lalu,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ahmad Bashah berkata, berlandaskan perbelanjaan sederhana tetapi berhemah yang lebih mengutamakan pembangunan akar umbi serta kebajikan pemain, pegawai serta penyokong setia Helang Merah ia diterjemahkan dengan kejayaan demi kejayan dalam masa terdekat ini.

“Kejayaan kita menggondol trofi Piala FA hujung minggu lalu juga adalah satu sejarah buat negeri Kedah kerana kita secara automatik akan menjadi wakil Malaysia di dalam pertandingan Piala AFC.

“Satu lagi cabaran untuk KFA mengorak langkah lebih jauh ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

HMetro

Comments

comments

ep2p-2