Siapa Calon Perdana Menteri Pilihan Mahathir dan PH?

KUALA LUMPUR – Pasca penggabungan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan dicabar menyatakan calon Perdana Menteri masing-masing jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, dalam nada sinis mengucapkan `tahniah’ kepada Dr Mahathir yang akhirnya disifatkan tunduk kepada DAP untuk menyertai Pakatan Harapan yang dikuasai parti cauvinis itu.

Sohaimi berkata, Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu wajar mengemukakan pendirian sama ada sedia menerima Perdana Menteri ditentukan PKR dan DAP jika pembangkang berupaya menawan Putrajaya.

“Sebagai sebuah parti yang dikatakan ingin menggantikan Barisan Nasional (BN), mereka (PPBM dan Pakatan Harapan) sepatutnya sudah sepakat dalam menentukan siapa bakal Perdana Menteri serta kabinet bayangan.

“Jika nama bakal Perdana Menteri pun susah untuk ditentukan, apatah lagi mahu memperjuangkan nasib rakyat?

“Oleh itu, saya yakin rakyat mampu menilai perjuangan palsu pembangkang yang penuh dengan agenda peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Dr Mahathir mengumumkan PPBM secara rasmi menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan, namun mencadangkan gabungan itu diberi beberapa pembaharuan termasuk penggunaan logo, simbol dan manifesto khusus untuk berdepan dengan BN pada PRU-14.

Sohaimi berkata, penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan membuktikan Dr Mahathir menggadai prinsip perjuangannya sehingga sanggup bersekongkol dengan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Dulu, selama 22 tahun Dr Mahathir memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri sering lantang dan tegas dalam menyatakan pemimpin DAP itu (Kit Siang) sebagai rasis, namun sekarang lain pula kisahnya.

“Begitu juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya satu masa dulu digelar ‘UMNO totok’ dan ‘Melayu sejati’, tetapi hari ini sedia bersama parti serta pemimpin DAP yang bersikap anti-Islam seperti mana diperakui PAS.

“Jelas PPBM sanggup melakukan apa saja, termasuk mengenepikan perjuangan Islam dan Melayu,” katanya. – BH