Rafizi Dakwa Najib Akan ‘Bungkus’ Di PRU-14



06/01/2017 – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh mendapat sokongan mencukupi untuk menewaskan Barisan Nasional (BN), walaupun terpaksa berdepan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Tanggapan naib presiden PKR itu dikatakan hanya akan berlaku, jika pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) diadakan selepas Mei nanti.

Menurut Rafizi, ketika ini kelebihan dikatakan masih memihak kepada BN berbanding pembangkang, walaupun kadarnya kecil.

Selain itu, beliau begitu yakin jika PRU ke-14 diadakan sekarang dan berlaku pertandingan dua penjuru, Datuk Seri Najib boleh ‘bungkus’.

“Menjelang Mei nanti kelebihan akan beralih kepada HARAPAN.

“Kalau pertandingan dua penjuru, sekarang pun (jika diadakan PRU), Datuk Seri Najib Razak boleh bungkus,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, penilaian itu dibuat berdasarkan keadaan sokongan yang dikatakan semakin menurun untuk BN. Sebaliknya bertambah bagi HARAPAN.

Pada masa sama, Rafizi cuba mengingatkan peralihan sokongan yang menguntungkan pembangkang itu hanya akan berlaku jika mereka memfokuskan serangan kepada BN, dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini.

Beliau turut menasihatkan pembangkang perlu mengelakkan isu yang merugikan mereka sendiri, seperti membincangkan persoalan siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Rafizi membuat kenyataan itu hanya untuk menafikan laporan Pasukan Penyelidikan Sulit Financial Times yang menjangkakan Najib akan dapat mengekalkan kerajaannya selepas PRU ke-14, jika ia diadakan pada suku ketiga tahun ini.

ep2p-5small