‘Jawapan Dr Mahathir Kasar, Tak Kisah Digelar Penderhaka’

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan balas Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai kasar dan amat sinikal.

 

Mohd Puad melalui satu kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV berkata, jawapan balas tersebut jelas membuktikan beliau tidak kisah sekiranya digelar sebagai penderhaka.

 

“Tun M semasa berkuasa dulu suka menuduh orang lain sebagai penderhaka (seperti) Anwar Ibrahim, Tengku Razaliegh dan Lim Kit Siang (malah) semasa krisis Perlembagaan, Tun M (pernah) digelar penderhaka, tetapi memahami Tun M, dia tidak peduli semua itu (kerana) dia boleh buat pusingan U (malah) sekarang ini orang yang dituduh penderhaka menjadi kawan baiknya (jadi) tidak ada yang pelik pada Tun M.

 

“Justeru bila dia secara sinikal mendakwa, mungkin ditangkap tanpa bicara kerana komen balasnya, apakah Tun M lupa bahawa ISA sudah pun dihapuskan. Ini bukan zaman beliau. Zaman beliau yang ada ISA sudah berakhir. Sebab itu Tun M boleh menyertai BERSIH 4 dan 5 tanpa ditangkap,” ujarnya memetik kenyataan tersebut.

 

Mohd Puad melalui kenyataan yang sama berkata dakwaan Dr Mahathir sebagai tidak rasional kerana menjadikan laporan Bloomberg untuk berhujah sedangkan ketika menjadi perdana menteri dahulu beliau sering menuduh media asing sebagai berat sebelah.

 

“Maka tidak wajar dia menggunakan hujah “kewargenagaraan” tersebut, sebab itu dakwaan bahawa Tun M cuba menakut nakutkan orang Johor adalah tepat. Apatah lagi ia berkaitan dengan negara China dan orang Cina. Ia mudah bertukar menjadi sentimen kaum. Ini amat sensitif dalam politik Malaysia.

 

“Forest City adalah projek penambakan laut yang melibatkan keluasan 1,386 hektar berbanding keluasan Johor iaitu 1.9 juta hektar, dengan kata lain keluasan tanah Johor akan bertambah sebanyak 0.07% sahaja. Pertambahan keluasan melalui penambakan laut ini dilaksanakan melalui pelaburan China. Justeru dakwaan Tun M dan TS Muhyiddin mengenai kedaulatan iaitu tanah Johor terjual tidak tepat,” ujarnya lagi.

 

Mohd Puad turut mendakwa ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor, kebanyakkan ‘prime land’ di bandar Johor Baharu telah dijual akibat dasar penswastaan.

 

Beliau turut menggesa agar Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk ‘cermin diri’ sebelum menuduh orang lain. – SuaraTV