Fasha Sandha Dah Bersedia Untuk Kahwin Lagi

08/01/2017 – Pelakon, Fasha Sandha, 32, membayangkan akan menamatkan zaman solo sebelum dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 3, dan Putri Raysha Jemaima, 2, meningkat dewasa.

Masih belum mempunyai teman istimewa kerana kesibukan tugas, selain tidak bersedia mempunyai komitmen dalam perhubungan, Fasha mengakui hatinya sudah mula terbuka untuk membuka ruang kepada lelaki lain mengenalinya.

“Saya belum terfikir untuk ke fasa seterusnya (perkahwinan). Bukan tidak berjumpa lelaki lain, tetapi ketika ini, saya takut tidak dapat memberikan komitmen kerana lebih mengutamakan kerjaya seni. Usia saya akan memasuki 33 tahun tidak lama lagi, saya berharap jodoh saya sampai sebelum anak-anak terlalu besar.

“Ketika ini, anak-anak masih belum faham situasi yang ayah dan ibu mereka lalui ini. Andai ditakdirkan saya bertemu jodoh nanti, saya akan terima,” katanya.

Mengakui masih belum ada lelaki yang cuba mendekati dan menghampirinya. Fasha berkata, tumpuannya ketika ini, lebih terarah kepada membina kerjaya dan membahagiakan anak-anaknya.

“Alhamdulillah, belum ada lelaki yang cuba mendekati untuk mengambil kesempatan hanya kerana saya ibu tunggal. Zaman sekarang tidak lagi sama seperti dulu. Persepsi masyarakat terhadap ibu tunggal juga sudah berubah.

“Sebagai ibu tunggal, kita perlu tunjukkan yang kita boleh bekerja dan berdikari supaya orang memandang tinggi serta jangan sesekali menunjukkan diri sebagai insan yang lemah,” katanya.

Beralih kepada filem Badang yang bakal dijayakannya, Fasga yang membawa watak Tisha dalam produksi arahan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen itu terpaksa mengurangkan berat badannya.

Fasha juga mencabar dirinya melakukan aksi lagak ngeri dalam filem yang turut menampilkan pengasas produk kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sebagai teraju utama.

“Ini adalah ketujuh saya berlakon di bawah arahan Profesor Razak, selepas Anak Mami Nasi Kandar tahun lalu. Karakter saya dalam filem ini agak berbeza, malah saya perlu melakukan sendiri aksi lagak ngeri. Sebelum ini, saya pernah melakukan aksi lasak ketika membintangi telenovela, Lara Aishah.

“Saya mengambil masa 28 hari untuk memberikan persetujuan. Selepas membaca skrip pada akhir Disember lalu, saya terpaksa menyeksa diri untuk menurunkan berat badan. Selepas mengikuti kelas Muay Thai, berat saya susut 4.8 kilogram dalam masa tiga minggu berbanding berat asal iaitu 59 kilogram.

“Saya sertai aktiviti itu tiga kali seminggu dan dilakukan selepas jam 11 malam ketika anak-anak sudah tidur,” katanya yang menganggap produksi itu sebagai filem adiwira kedua lakonannya selepas Cicakman.

ep2p-2