Mahu Nampak Miskin, Wanita Rugi RM30,000 Barang Kemas Dicuri Penipu

BAGAN SERAI ― Seorang warga emas kerugian RM30,000 apabila barang kemas dan wang tunai RM200 miliknya dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja rumah kebajikan di sini, semalam.

 

Kejadian kira-kira 11 pagi itu berlaku di rumah mangsa di Tebuk Matau, Simpang Empat, Semanggol dekat sini, kata Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob.

 

Beliau berkata kejadian berlaku apabila wanita berumur 76 tahun itu didatangi seorang lelaki yang bertanyakan rumah seseorang yang didakwa memohon bantuan kebajikan.

 

Mangsa, yang turut mahu mendapatkan bantuan kebajikan itu, mempelawa suspek masuk ke rumahnya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa yang memakai banyak barang kemas supaya menanggalkannya agar kelihatan seperti orang miskin dan layak memohon bantuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

 

Omar Bakhtiar berkata mendengarkan penjelasan suspek, warga emas itu telah menanggalkan lima utas rantai leher, tiga rantai tangan, dua cincin, sepasang subang dan satu gelang kaki daripada tubuhnya serta memasukkan telefon serta wang tunai RM200 ke dalam satu beg.

 

Selepas itu, suspek meminta mangsa menukar kepada pakaian lain di dalam bilik bersama-sama seorang anak perempuannya.

 

“Apabila mangsa keluar dari bilik itu, beliau mendapati suspek dan barang kemas telah tiada dan segera membuat laporan polis,” katanya sambil memberitahu bahawa mangsa tidak dapat membantu polis untuk lakaran wajah suspek.

 

Omar Bakhtiar berkata suspek dianggar berumur dalam lingkungan 50-an dan  meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya mengubungi pihak berkuasa.

 

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya tidak tertipu dengan lelaki yang menyamar sebagai kakitangan rumah kebajikan atau baitulmal. ― Bernama