Apakah Tindakan Khairy Terhadap Lim Teong Kim?

Pengalaman luasnya mendidik anak-anak dalam ilmu bermain bola sepak tidak boleh disangkal lagi.

Ketika di Eropah, dia telah berkerja dengan sebuah kelab termasyhur dan bersama-sama kelab itu, dia dikatakan telah berjaya melahirkan beberapa pemain generasi emas bagi kelab dan negara tempat dia berkelana mengembangkan kerjayanya.

Dia yang dimaksudkan ialah Lim Teong Kim.

Dengan reputasi dan sikap tegasnya, Teong Kim telah membuka mata pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk memanggilnya pulang ke tanah air untuk membantu mengembalikan reputasi dan kegemilangan bola sepak negara dengan melahirkan pemain-pemain berkualiti melalui program akar umbi.

BACA: Kelab Pohang Steelers Buat Aduan Terhadap Lim Teong Kim

Harapan untuk melihat gerak kerja yang tersusun dan kemas, malangnya tidak seindah yang diharapkan.

Setelah dilantik menjadi Pengarah Projek, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), ramai mengharapkan Teong Kim dapat memantau projek yang dikendalikan dengan turun ke peringkat akar umbi.

Ini bertujuan supaya dia dapat mellihat sendiri perjalanan dan kelancaran yang telah disusunnya, terutama dalam teknik pengajaran jurulatih-jurulatih, peralatan latihan dan kaedah latihan di bawah PPBN, terutama DNA dan falsafah PPBN itu sendiri.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku.

Apa yang dilihat ialah dia suka melibatkan diri dengan kontroversi daripada memberi fokus kepada tanggungjawabnya untuk melahirkan ramai pemain berkualiti daripada program yang dijaga.

Ia bermula dengan herdikan kepada jurulatih tempatan yang dikatakannya “bodoh sombong” dan seterusnya kritikan kepada badan induk bola sepak negara – FAM.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah diperintah meninggalkan kawasan teknikal jurulatih apabila mempertikaikan keputusan pengadil ketika Kejohanan SuperMokh 2015 sewaktu mengendalikan pasukan negara.


Yang terkini, dia dikatakan mengarahkan pemain-pemainnnya memberhentikan permainan ketika mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Pohang Steelers di Korea Selatan kerana pemain-pemain lawan dikatakan lebih umur.

Hakikat sebenar adalah sebaliknya hingga ia mendorong Pohang Steelers meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Teong Kim itu, dalam suratnya kepada FAM.

Apakah tindakannya itu betul daripada etika seorang profesional atau cakap tidak serupa bikin?

BACA: VIDEO Lim Teong Kim Dakwa Jurulatih Malaysia Bodoh Sombong

Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik negara tetapi terpalit juga kepada Menteri Belia dan Sukan atas tindakan yang dibuat kerana Khairy adalah orang yang bertanggungjawab membawa Teong Kim pulang ke Malaysia.

Barisan kepimpinan Exco PPBN yang dipengerusikan oleh Khairy sendiri perlu memikirkan apakah tindakan yang perlu diambil.

Sekiranya keadaan memaksa untuk memecat atau menamatkan kontraknya, itu terletak di atas kebijaksanaan Exco PPBN sendiri menilainya.

Tetapi sekiranya keputusan memecat Teong Kim diambil, Exco PPBN tidak perlu bimbang kerana ramai lagi yang boleh memberikan khidmat dengan lebih baik.

BACA: Dakwaan Teong Kim Melampau, Persatuan Jurulatih Akan Bermesyuarat

Ini juga menjadi pengajaran kepada kita semua agar setinggi mana pun ilmu dan pengalaman yang dimiliki, janganlah terlalu ego dan sombong.

Jangan sesekali mempertikaikan orang lain tanpa memberi ruang untuk bekerjasama kerana bola sepak adalah kerja berpasukan dan ingatlah pepatah Melayu ada menyatakan “meludah ke langit terkena muka sendiri”.

stadiumastro

Comments

comments

ep2p-2