VIDEO Watford Kejutkan Man United, Alami Kekalahan Ketiga Berturut-turut

AKSI Liga Perdana Inggeris pada Ahad menyaksikan Watford mencipta sejarah apabila menewaskan Manchester United buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

Kejayaan Watford membenam United 3-1 itu juga sekaligus menyaksikan kekalahan ketiga berturut-turut pasukan yang dikendalikan pengurus Jose Mourinho.

United kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Manchester City dengan Mourinho mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam kariernya sejak mengambil alih FC Porto pada tahun 2001-02.

Selepas tewas dalam aksi ‘derby’ EPL kepada Manchester City 2-1, dan Feyenoord 1-0 dalam Liga Europa, skuad Jose Mourinho terus dirundung malang.

Watford menguasai permainan sejak awal, membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama menerusi tendangan kencang Etienne Capoue, yang berada di kedudukan terbuka ketika menerima hantaran lintang dari rakan sebelah kanan.

United menemui gol penyamaan 17 minit separuh masa kedua, dengan Marcus Rashford sempat mencuri peluang, selepas bola hantaran Zlatan Ibrahimovic yang tertampan Valon Behrami, jatuh ke kakinya.

Kedudukan 1-1 terikat lama, sebelum Watford sekali lagi menterjemahkan penguasaan mereka selepas Juan Camilo Zuniga nampak mudah menewaskan David de Gea, dengan memaksa penjaga gol itu merebahkan badan ke sebelah kiri.

Dalam permainan berbaki tujuh minit dan United terdesak untuk sekali lagi mencari gol penyamaan, Watford tidak menoleh ke belakang.

Skuad Walter Mazzarri sudah membayangkan kemenangan ketika mereka dihadiahkan penalti, apabila pengadil mendapati Zuniga dijatuhkan Marouane Fellaini, ketika Watford memiliki peluang di pintu gol.


Troy Deeney merembat deras ke arah tengah gawang, untuk melengkapkan kemenangan 3-1 Watford ke atas United.

Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, berasakan keputusan pengadil dan nasib malang jadi faktor kekalahan pasukannya kepada Watford, namun akui anak buahnya mampu beraksi dengan lebih baik.

Nyata kecewa dengan keputusan itu, Mourinho berasakan Anthony Martial telah dikasari sebelum gol pertama Watfod dijaringkan Capoue.

“Kami tidak bermain dengan baik dalam tempoh 30 minit pertama di separuh masa pertama, kami perlu perbaiki perkara itu.

“Kesilapan pengadil dan penjaga garisan di luar kawalan saya. Saya tidak boleh perbaiki perkara itu,” katanya secara sinis kepada BT Sport.

Mourinho turut melabel keputusan untuk tidak menganugerahkan sepakan percuma susulan kekasaran ke atas Martial sebagai “mengarut” dan sekali lagi menekankan faktor luar kawalannya jadi punca tewas.

“Faktor pertama melibatkan kesilapan pemain, kami boleh perbaiki perkara itu tetapi faktor kedua yang melibatkan kesilapan pengadil tidak boleh diperbetulkan. Segala keputusan hari ini berpunca daripada gol pertama yang tidak sepatutnya berlaku.

“Faktor ketiga, tuah tidak menyebelahi kami. Kami pasukan terbaik dalam perlawanan ini tetapi kami tetap tewas.”

Watford yang berada di tangga kelapan liga, berbeza dua mata di belakang United.

Highlights

Comments

comments

ep2p-2