Tony Fernandes, Idris Jala Tidak Layak Terajui FAM – Tan Sri Annuar Musa

annuar-musaKOTA BHARU 25 Sept. – Dua tokoh korporat Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Idris Jala disifatkan tidak layak untuk menduduki kerusi nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelak.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, calon yang mahu mengisi jawatan tersebut perlulah terdiri daripada mereka yang memahami dan terlibat secara langsung dalam sukan bola sepak di negara ini.

Menurutnya, jika orang yang tidak terlibat dalam aktiviti bola sepak tempatan menerajui jawatan itu dikhuatiri mereka tidak akan memahami dan gagal menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi.

“Bila ada kekosongan senang sahaja, kita balik kepada peraturan. Tak payah meraba-raba cari orang itu, orang ini dan semua perkara tersebut telah dicatatkan dalam peraturan.

“Ahli gabungan perlu mengemukakan cadangan dalam kala­ngan mereka yang sedang terlibat dengan bola sepak sahaja terma­suklah jurulatih atau pengadil.

“Peraturan itu dibuat ke­rana mahu melihat badan itu dipimpin oleh seseorang yang telah dan sentiasa aktif dalam konteks bola sepak negara sekali gus memudahkan perlaksanaan tugas,” katanya kepada pemberi­ta di sini semalam.

Akhbar sebelum ini mela­porkan, kesediaan dua tokoh korporat itu untuk menerajui barisan kepemimpinan badan induk tersebut.


Kesediaan Idris dan Fernandes menerajui FAM membuktikan masih ada yang sa­yang dan mahu membantu bola sepak negara.

Pemilihan FAM bakal diadakan dalam kongres ke-53 yang dijadual awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikh kongres pada Oktober ini.

Calon presiden perlu mene­rima sekurang-kurangnya satu pencalonan daripada ahli gabungan FAM dan mestilah warganegara Malaysia.

Annuar memberitahu, pemi­lihan tersebut merupakan perkara penting dan ahli gabungan perlu mengambil peluang untuk membawa tranformasi seperti yang terkandung dalam ucapan Tengku Abdullah sebelum ini.

Katanya, dalam ucapan ter­sebut Tengku Abdullah ada menyebutkan FAM perlu melakukan tranformasi sebagimana dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Pada saya ucapan Tengku Abdullah cukup indah, baginda sanggup berundur dan telah memberikan indikator kepada kita semua.

“Kalau kita masih buat ma­cam biasa, maka tidak ada per­kara yang akan berubah. Bagi saya pemilihan kongres kali ini merupakan medan terbaik untuk melakukan perubahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar berkata keputusan Tengku Abdullah untuk berundur merupakan satu kehilangan yang cukup besar kepada badan induk ter­sebut dan sukan bola sepak di negara ini.

“Kita patut menjunjung kasih kepada baginda kerana berjiwa besar dalam memajukan sukan ini,” katanya.

Utusan

Comments

comments

ep2p-5small