Safiq Rahim Fokus Piala AFC Sebelum Timbang Wakili Harimau Malaysia

Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim, memberi bayangan dia dan tiga lagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Razak, tidak akan berganjak daripada keputusan bersara dari pentas antarabangsa bagi memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kelab itu.

Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, sebelum ini meluahkan hasrat agar keempat-empat pemain itu kembali menakbur bakti, namun Safiq menegaskan dirinya kini mahu fokus membantu JDT mengejar kejuaraan Piala AFC.

“Itu satu penghargaan bagi diri saya tetapi buat masa ini, saya mahu beri tumpuan sepenuhnya kepada Johor Darul Ta’zim.

“Kami ada misi penting, iaitu aksi suku akhir Piala AFC. Bagi saya, selepas itu mungkin saya akan memikirkan semula keputusan saya,” jelasnya.

Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang mengetuai skuad Harimau Selatan mencipta sejarah merangkul kejuaraan hatrik Liga Super selepas membenam Terengganu 3-0 pada aksi liga kelmarin berkata, tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk berusaha mengekalkan kejuaraan Piala AFC yang dimenangi musim lalu.

Dia yang dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai pada aksi final selepas menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 tahun lalu, menyifatkan pertembungan menentang South China AA pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, Selasa ini amat getir dan justeru, dia tidak mahu memikirkan soal lain.

“Ketika ini saya tidak mahu memikirkan soal menyarung jersi skuad negara. Saranan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk saya dan tiga lagi rakan menyertai Harimau Malaysia adalah satu penghargaan.


“Namun biar saya beri sepenuh tumpuan untuk Johor DT kerana kami ada misi penting pada saingan peringkat Asia memandangkan kami sudah melangkah ke suku akhir dan misi utama ialah berusaha sedaya upaya mempertahankan kejuaraan Piala AFC.

“Untuk kembali menyertai skuad negara, mungkin saya fikirkan dulu tetapi seperti yang saya katakan biarlah saya menumpukan kepada saingan Piala AFC dan kemudian barulah kita bercakap mengenainya,” katanya.

Baru-baru ini, Kim Swee mengharapkan Safiq, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal untuk kembali menyertai semula skuad negara selepas berlaku kepincangan dalam skuad itu yang mudah diratah Indonesia 3-0 dalam aksi persahabatan di Solo, Indonesia.

Bagi Safiq, secara peribadi dia percaya barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang diberikan oleh Kim Swee dan berharap setiap pemain memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Walaupun tewas anggaplah itu sebagai proses pembelajaran dan perbaiki apa juga kelemahan sebagai persiapan ke Piala AFF tidak lama lagi dan saya harap pemain dipilih oleh jurulatih (Kim Swee) dapat memberikan yang terbaik,” kata Safiq.

Comments

comments

ep2p-2