Piala Suzuki Aff 2016: Malaysia Diundi Bersama Myanmar, Vietnam

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee telah diundi bersama Myanmar, Vietnam dan juara pusingan kelayakan dalam Kumpulan B bagi saingan Piala Suzuki AFF 2016 bermula 19 November ini pada majlis undian yang berlangsung di Yangon, Myanmar, malam ini.

Ia sekali gus menyaksikan saingan Kumpulan A menampilkan Filipina, juara bertahan Thailand, Singapura dan Indonesia.

Empat pasukan bakal bersaing pada pusingan kelayakan yang akan dilangsungkan di Phnom Penh, Kemboja dari 15 hingga 21 Oktober 2016 iaitu Brunei, Timor-Leste, Kemboja dan Laos.

Mengikut rekod, Myanmar yang pertama kali menjadi tuan rumah bersama pada edisi ke-11 ini hanya pernah sekali berjaya melangkah ke separuh akhir iaitu pada 2004 tetapi tewas kepada Singapura.

Vietnam pula pernah sekali muncul juara pada 2008, sekali naib juara pada 1998 dan enam kali kandas di separuh akhir termasuk tewas kepada Malaysia pada edisi sebelum ini, 2014.

Di kalangan empat pasukan yang bakal beraksi di pusingan kelayakan pula, kesemua mereka belum pernah berjaya melangkah ke separuh akhir.

Skuad Harimau Malaysia bakal memulakan kempen Kumpulan B di Stadium Thuwunna YTC, Yangon bertemu juara pusingan kelayakan (Brunei, Timor-Leste, Kemboja atau Laos) pada 20 November disusuli aksi kedua menentang Vietnam pada 23 November dan aksi terakhir berdepan tuan rumah, Myanmar pada 26 November.

Saingan Kumpulan A pula akan berlangsung di Bulacan, Filipina dari 19 hingga 25 November.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, perlawanan separuh akhir timbal balik akan diadakan pada 3 dan 4 Disember serta 7 dan 8 Disember disusuli aksi final timbal balik pada 14 dan 17 Disember 2016.

Pada edisi 2014, Malaysia yang ketika itu dikendalikan Dollah Salleh muncul naib juara selepas tewas agregat 4-3 kepada Thailand apabila tewas 2-0 pada final pertama di Bangkok sebelum bangkit menang 3-2 di Bukit Jalil pada final kedua.

Berdasarkan rekod sepanjang 10 edisi sebelum ini, Malaysia pernah sekali muncul juara iaitu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal, naib juara sebanyak dua kali pada edisi sulung 1996 dan 2014 serta lima kali tewas di separuh akhir iaitu pada 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2012.


Hanya dua kali Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan iaitu pada 1998 dan 2008.

KOMEN KETUA JURULATIH KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE

“Walaupun kita berada dalam kumpulan yang boleh dikatakan lebih baik daripada Kumpulan A, tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, pasukan di Asia Tenggara ini mempunyai kekuatan yang sama kecuali Thailand.

“Saya percaya bahawa pasukan Myanmar akan bersiap sedia lebih awal dan menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan B ini. Vietnam juga selalu konsisten di peringkat Asia Tenggara ini. Jadi ini dua pencabar utama kita termasuk juga pasukan yang layak dari pusingan kelayakan, di mana kita tidak boleh mengambil mudah.

“Apa pun saya berharap agar kita dapat bersiap sedia dengan lebih rapi bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 ini di mana peluang kita untuk layak ke separuh akhir terpulang kepada keadaan sewaktu kejohanan berlangsung nanti.

“Di mana jika kita mempunyai semua pemain utama kita, sudah tentu kita mampu bersaing dan layak ke separuh akhir.”

FAM

Comments

comments

ep2p-2