Pesawat Kargo DHL ‘Mendarat’ Di Jalan Raya

MILAN – Sebuah pesawat kargo tergelincir daripada landasan lapangan terbang di utara Itali sebelum mendarat di jalan raya, hari ini.

 

Pihak berkuasa penerbangan awam Itali, ENAC dalam satu kenyataan memaklumkan, dua kru dalam pesawat kargo yang berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Perancis, pada malam Khamis itu selamat dan tiada penduduk yang cedera dalam kejadian berkenaan.

 

Pesawat Boeing 737-400 yang dikendalikan sebuah syarikat penerbangan Hungary bagi pihak syarikat logistik DHL itu tergelincir dan melanggar pagar lapangan terbang berkenaan ketika hujan lebat.

 

Lapangan Terbang Orio al Serio di Bergamo dibuka semula lima jam kemudian, selepas penutupan sementara akibat kejadian kira-kira jam 4 pagi itu (waktu tempatan).

 

Jurucakap kumpulan penerbangan ASL yang berpangkalan di Dublin yang merupakan syarikat induk pesawat itu, ASL Airlines Hungary berkata, punca kejadian masih disiasat.

 

“Kami tidak boleh membuat spekulasi tentang punca kejadian dan sedang menumpukan perhatian untuk mengalihkan pesawat berkenaan daripada jalan raya,” katanya.

 

Sementara itu, ENAC menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi memastikan jadual penerbangan mereka tidak terjejas. – Reuters/fmt



This entry was posted in Luar Negara, Terkini. Bookmark the permalink.