© CCTV NewsBEIJING – Seorang wanita mati manakala seorang lagi cedera dibaham harimau selepas keluar dari kereta mereka ketika berada di sebuah taman hidupan liar di Beijing, menurut laporan berita semalam.

Akhbar China, Legal Evening News melapor­kan, petugas kecemasan Taman Dunia Hidupan Liar Badaling di Beijing dapat menyelamatkan wanita muda yang pertama keluar dari kereta.

Namun, wanita kedua yang lebih tua mati di tempat kejadian selepas dibaham seekor harimau lain semasa cuba membantu rakannya.

Para pelancong boleh memandu melintasi taman safari itu tetapi diberi amaran supaya berada di dalam kenderaan mereka pada setiap masa.

Menurut akhbar berkenaan, tragedi itu berlaku tengah hari kelmarin, manakala mangsa yang cedera masih dirawat di hospital.

Taman Dunia Hidupan Liar Badaling yang terletak berhampiran Tembok Besar China, 60 kilometer dari Beijing merupakan taman ekologi terbesar di negara itu dan meliputi kawasan seluas 400 hektar.

Difahamkan pihak berkenaan telah menandatangani surat tanggungjawab untuk pelawat, yang dengan jelas menyatakan bahawa pelawat perlu mengunci pintu kereta dan tingkap sepanjang berada di dalam taman terbabit.

Comments

comments