Mereka Bersara Kerana Arahan Seseorang – Santokh Singh

KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas pertahanan tengah negara Datuk Santokh Singh menganggap ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di sebalik pengumuman persaraan empat tonggak Harimau Malaysia daripada kalangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 itu merumuskan demikian berdasarkan kenyata­an pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim me­ngenai banyak perkara yang tidak betul mengenai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran persaraan mereka.

“Ada seseorang yang arahkan mereka bersara. (Itu daripada) kenyataan TMJ tentang FAM tidak jalankan tugas mereka dan ada banyak benda yang tidak betul disebut tentang FAM yang bagi saya, ada sesuatu yang mencurigakan berlaku,” katanya.

Santokh, 64, yang merupakan tonggak pasukan yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, ditemui selepas sidang akhbar pengumuman Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Kelab Bola Sepak Antarabangsa (IFC) Kelapan di Kelab Aman, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan TMJ yang menuduh bahawa sistem latihan negara yang mendedahkan pemain dengan kecede­raan dan kebajikan yang tidak dijaga sebagai punca persaraan antarabangsa Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.

Santokh turut mempersoalkan tuduhan itu.

“Anda beritahu saya apa yang FAM tidak buat? FAM sudah buat sedaya upaya untuk semua pemain tetapi pemain yang tidak beri yang terbaik buat negara.


“Mereka main Jelajah Oceania (siri perlawanan persahabatan antarabangsa bulan lalu), kalah dengan Papua New Guiena (2-0) dan seri dengan Fiji (1-1), apa yang telah dibuktikan? Mereka tidak bermain dengan apa yang mereka mahu dan seperti yang diharapkan,” tegas pemain negara selama lebih sedekad itu.

Mengenai terlalu keputusan pemain itu bersara terlalu awal sedangkan mereka belum berusia 30-an, Santokh berkata, keputusan mereka perlu dihormati dan FAM sewajarnya memberi tumpuan kepada pemain muda.

“Sama ada awal atau tidak, jika mereka mahu pergi, biarkan mereka, kita (mungkin) ada pasukan simpanan yang boleh bermain lebih baik dan mereka (FAM) patut buang pasukan utama (terlebih dulu).

“Saya tidak faham mengapa kita cuma cakap dan tumpu mengenai empat pemain itu. Anda tidak pernah mencuba dan beri peluang mereka (pemain simpanan). Biarkan mereka bermain dan saya tidak kisah kalau mereka kalah 10-0 pun,” katanya.

Ketika zaman kariernya sebagai pemain, ujarnya, Malaysia mempunyai dua pasukan kebangsaan, A dan B yang boleh diharapkan sekiranya ada pemain senior yang sudah berusia dan bersara malah memudahkan pemain muda beransur-ansur mengisi kekosongan itu.

Sementara itu bekas kapten yang juga gandingan Santokh di bahagian pertahanan Datuk Soh Chin Aun mengingatkan pemain-pemain yang ada agar meng­utamakan negara.

“Sebagai anak Malaysia, anda mesti berikan semangat yang pa­ling tinggi dan berjuanglah untuk negara. Itulah tugas terpenting seorang atlet.

“Sedikit sebanyak kekuatan pasukan mungkin terjejas tanpa Safiq dan Aidil tetapi tiada siapa yang kekal. Kita perlu teruskan dan pasukan perlu terus bermain (dalam Piala AFF, November ini dan Kelayakan Akhir Piala Asia, tahun depan). Kita perlu ada empat yang lain untuk gantikan mereka.

“Zaman saya, semua pemain ternanti-nanti (peluang) bermain untuk negara walaupun ganjarannya tidak selumayan sekarang. Namun kalau mereka ada alasan yang kuat untuk bersara, tiada siapa yang boleh halang. Itu terpulang kepada individu, merekalah yang memutuskannya atas alasan dan masalah tersendiri yang kita mungkin tidak tahu,” katanya.

Utusan

Comments

comments

ep2p-5small