Selagi Tidak Bolos, Dapat Perbaiki Penyudah, Kita Mampu Dapatkan Keputusan Baik

JOHOR BAHARU: Kekosongan posisi tengah yang ditinggalkan Safiq Rahim, membuka ruang buat Mohd Amirulhadi Zainal dan Brendan Gan menjadi ‘jeneral’ baharu jentera utama skuad negara yang akan menentang Timor-Leste, malam Khamis.

Mohd Amirulhadi, 30, dan Brendan, 27, adalah antara pemain yang disebut-sebut mengisi tempat Safiq yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, untuk perlawanan play-off pertama kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini esok.

Bagi Amirulhadi, ia juga peluang terbaiknya untuk membuktikan kemampuannya selepas dipanggil semula dalam skuad kebangsaan sejak 2011.

Namun ketua jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee masih enggan menamakan pemain pilihannya untuk mengisi tempat ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, sebaliknya berkata ada beberapa pemain tengah lain yang boleh dijadikan sandaran Harimau Malaysia untuk perlawanan yang cukup penting esok.

“Saya akui Timor-Leste merupakan satu pasukan yang kuat, tidak seperti 10 tahun yang lepas.

“Bagaimanapun, asalkan kita tidak cepat mengaku kalah, kita boleh menyaingi mereka,” kata beliau pada sidang media menjelang perlawanan malam esok.

Bila ditanya sama ada jaringan awal akan menjadi penentu rentak skuad kebangsaan esok, Kim Swee berkata apa yang lebih penting adalah pemain bermain dengan konsisten dan mengikut arahan agar segala strategi dapat digunakan.

Bagi Aidil Zafuan Abdul Razak yang mengambil alih tugas ketua pasukan, tuah rekod tanpa kalah JDT di Larkin, diharap dapat membantu skuad kebangsaan selain keserasian sesama anggota pasukan juga penting.

Sementara itu, skuad Timor-Leste yang rata-rata menurunkan pemain muda, tidak memandang mudah keupayaan skuad Harimau Malaysia.

Walaupun Malaysia turun tanpa penggerak utama Safiq, jurulatih Timor-Leste Fabio Maciel mengakui tuan rumah masih sebuah pasukan yang kuat.

“Kami akan bermain sebaik mungkin dan mengharapkan satu perlawanan yang hebat esok,” katanya.

Menurutnya, hampir kesemua pemain skuadnya merupakan barisan yang menyertai saingan Sukan Sea tahun lepas.

Berikut komen ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Johor Bahru, tengah hari tadi.

“Mengenai formasi, kebiasaannya boleh jadi 4-1-4-1, 4-4-2, 4-2-3-1 atau 4-3-3. Tapi yang mustahak, ketika bermain sistem ini akan berubah dan itu perkara biasa, bukan saja kepada pasukan kita, malah kepada mana-mana pasukan apabila mereka menyerang dan bertahan. Jadi sistem yang akan digunakan terpulang kepada kedudukan ketika perlawanan esok.

 “Tanpa Safiq Rahim yang terpaksa diketepikan terus kerana kecederaan, saya mempunyai beberapa pemain yang boleh mengisi posisinya di bahagian tengah seperti Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Junior Eldstal, Ahmad Fakri Saarani dan juga Baddrol Bakhtiar.

 “Saya percaya ia tidak akan menjadi masalah besar jika berdasarkan pemain-pemain yang kita ada. Saya yakin mereka akan dapat melakukan persembahan lebih baik esok.

 “Pada masa sama, perlu diingat bahawa kita tidak dibolosi sebarang gol dalam dua aksi persahabatan terakhir. Jadi untuk perlawanan esok, kita tetap perlu berwaspada untuk tidak dibolosi kerana peraturan gol di tempat lawan diguna pakai.

 “Jadi selagi kita tidak dibolosi dan pada masa sama dapat memperbaiki sentuhan penyudah kita, saya percaya kita mampu untuk mendapatkan keputusan yang baik esok.

 “Timor-Leste saya anggap pasukan yang sama kekuatan dengan kita dengan kemasukan beberapa pemain naturalisasi. Ia pasti akan tetap menjadi satu perlawanan yang sukar kerana Timor-Leste sekarang jauh berbeza dengan Timor-Leste 10 tahun yang lalu.

 “Untuk mencapai kemenangan, kita perlu melakukan segala-galanya yang boleh terutama dengan kelebihan beraksi di laman sendiri. Jaringan gol cukup penting. Saya percaya jika kita beraksi mengikut perancangan, jaringan gol akan hadir.”

Saksikan secara streaming di www.bptvstream.com

Comments

comments

ep2p-2