Budiman Percaya Pengundi Mampu Buat Keputusan Bijak Pilih BN

SABAK BERNAM  – Calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd. Zohdi percaya pengundi di Sungai Besar akan memilih dengan bijak wakil rakyat yang akan mewakili mereka esok dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar.

 

Menurut Budiman, beliau percaya pengundi Sungai Besar sudah matang dalam membuat pilihan dan yakin dengan usaha dan rekod prestasi yang beliau buat selama ini termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, BN akan memperoleh kemenangan.

 

“Saya percaya dan yakin penduduk Sungai Besar akan membuat keputusan bijak dengan memilih saya berdasarkan usaha dan rekod prestasi saya sepanjang saya bergelar wakil rakyat untuk di DUN Sungai Panjang.

 

“Saya akan berusaha untuk memastikan bidang pendidikan, ekonomi penduduk dan agropelancongan dapat dibangunkan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui semasa program walkabout di Kampung Sungai Limau di sini hari ini.

 

Namun Budiman sedikit terkilan dengan proses kempen saat-saat akhir yang sedang dijalankan ketika ini di mana kempen-kempen kebencian sudah mula menular dalam PRK Sungai Besar ketika ini.

 

“Walaupun ini merupakan asam garam dalam kempen politik, namun ia sepatutnya tidak disemai dengan benih kebencian.

 

“Apa pun, saya mengharapkan pengundi di sini menilai tugas yang saya telah lakukan di DUN (Sungai Panjang) untuk saya panjangkan ke Sekinchan pula,” katanya.

 

Budiman yang merupakan anak tempatan akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau esok manakala dua lagi calon dari Pas, Dr. Abdul Rani Osman dan Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Ab. Shukor, tidak mengundi disebabkan mereka bukan penduduk di Sungai Besar.- UTUSAN