Berhenti Cabar Kedaulatan Negeri Sabah


Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi amaran kepada pihak luar, supaya berhenti mencabar kedaulatan Sabah dengan menegaskan negeri itu sudah merdeka dalam Malaysia sejak 1963.

Menganggap tuntutan pihak luar ke atas Sabah sebagai bukan isu, Perdana Menteri berkata, status Sabah dalam Malaysia sudah diputuskan pada tahun 1963 menerusi pungutan suara dan Suruhanjaya Cobbold yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Dari segi undang-undang antarabangsa, tidak ada sesiapa boleh persoalkan. Oleh itu saya anggap ini bukan isu. Saya hendak menyatakan bumi Sabah ini kita tetap pertahankan, Sabah merdeka dalam Malaysia.

“Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kedaulatan Sabah. Rakyat Sabah juga sudah menyatakan hasrat sepanjang masa bahawa mereka bersama Malaysia,” katanya.

Najib berkata, kerajaan komited mempertahankan setiap inci bumi Sabah dengan menambah anggota keselamatan dan menempatkan pelbagai aset ketenteraan sebagai cerminan negeri itu merdeka dalam Malaysia.

“Sejajar usaha kerajaan melindungi Sabah dengan membabitkan jumlah kewangan yang besar, rakyat mesti berperanan, setia kepada kerajaan dan bumi Sabah dan Malaysia.

“Rakyat jangan sesekali jadi tali barut kepada musuh negara. Kalau rakyat setia, bersama berperanan, Insya-Allah bumi Sabah tetap kita jamin selamat,” katanya.

ep2p-5small