Tun Mahathir Nafi Minta Campur Tangan Luar

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau meminta campur tangan antarabangsa untuk membantu ‘menjatuhkan’ Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

 

“Saya tak minta campur tangan luar. Saya katakan bahawa semua saluran untuk menyatakan kebenaran di negara ini telah disekat oleh Najib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Pembinaan Negara Bangsa Melalui Pendidikan di Muzium Kesenian Islam di sini.

 

Bagaimanapun kata Tun Mahathir, beliau akan terus memberitahu kepada media asing apa yang dilakukan oleh Najib di negara ini.

 

“Saya akan beritahu media asing mengenainya,” katanya.

 

Akhbar The Australian baru-baru ini melaporkan bahawa ia adalah perubahan luar biasa bagi Tun Mahathir yang terkenal dengan ketegasannya menolak campur tangan asing dalam politik Malaysia semasa pentadbirannya.

 

“Biasanya saya tidak suka campur tangan asing dalam hal ehwal Malaysia tetapi saluran untuk kami telah ditutup sepenuhnya. Jadi sekarang kita perlu membenarkan campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negara kita.

 

“Jika ia mengikut undang-undang, sah, ya. Jika mereka mempunyai maklumat, mereka perlu memberi maklumat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada majalah hujung minggu harian Australian The Weekend Australia dalam satu temu bual di pejabatnya di Putrajaya.

 

Dalam temubual itu, Tun Mahathir turun menempelak kerajaan Australia kerana mengambil pendirian berdiam diri terhadap skandal yang melanda Malaysia.

 

Tegasnya, pihak berkuasa di luar negara tidak patut berhenti menyiasat pengubahan wang walaupun siasatan melibatkan perdana menteri.

 

“Kerajaan Australia dilihat seperti tidak mahu menyinggung perasaan perdana menteri Malaysia.

 

“Media (Australia) telah mendedahkan banyak perkara tetapi yang peliknya kerajaannya begitu diam,” tambahnya.