Ranieri kekal tenang walaupun Leicester hampiri sejarah

Pengurus Leicester, Claudio Ranieri (tengah) meraikan pemain-pemainnya LEICESTER – Ditanya sama ada, selepas melihat pasukannya Leicester City kini lega tujuh mata di tempat teratas Liga Perdana, dia bimbang mereka mungkin akan choke (tercekik), Claudio Ranieri membalas: “Apa itu choke?”

Ranieri bertanya semula bukan kerana berlagak hebat tetapi dia tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi selepas diterangkan mengenai maksudnya, pengurus berusia 64 tahun dari Itali itu memegang lehernya dan mengajuk bunyi enjin menderum.

Apabila gelak ketawa mereka yang berada di bilik media Stadium King Power berhenti selepas Leicester menang 1-0 ke atas Southampton kelmarin, Ranieri senyum dan berkata: “Tidak, tidak, tidak. Saya sangat tenang.”


Kemenangan Leicester, hasil jaringan ketua pasukan Wes Morgan menerusi tandukan pada minit ke-38, membuatkan mereka kini hanya memerlukan 12 mata daripada enam perlawanan terakhir mereka untuk mencipta sesuatu yang ‘mustahil’ dilakukan dalam sejarah bola sepak.

Tetapi sementara Leicester, yang terletak di tengah-tengah England, diselubungi keterujaan, Ranieri bertekad untuk memastikan kemungkinan mereka menjadi juara tidak menjejaskan tumpuan pemainnya.

“(Peminat) semestinya percaya, mereka semestinya gembira musim ini, tetapi kami perlu berpijak di bumi.

“Kerana jika anda ingat kepada perlawanan-perlawanan terakhir kami, kesemuanya sangat sukar. Bayangkan Sunderland Ahad depan, apa (akan) berlaku? Satu lagi pertempuran. Dan kemudian kami mesti fokus,” katanya.

Kemenangan getir ke atas Southampton semalam adalah kali kelima Leicester meraih kejayaan 1-0 dalam enam perlawanan.

Comments

comments