Penduduk Cemas, Bom Ditemui Dalam Kondominium Mewah

PETALING JAYA – Lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana gempar apabila dimaklumkan ada lima butir bom dalam sebuah unit kediaman itu pagi tadi.

 

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata sekeluarga terkejut apabila jirannya memberitahu blok kediaman mereka sedang dikawal ketat oleh pasukan polis serta Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana terdapat bahan letupan.

 

“Bimbang dengan keselamatan, kami segera membawa keluarga keluar dari rumah dan turun ke tingkat bawah bersama jiran yang lain,” katanya ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, berkata serbuan yang dibuat hasil risikan awal itu berjaya menemukan bahan letupan itu dalam sebuah unit di tingkat 17 bangunan berkenaan pada 4.30 pagi tadi.

 

Dua suspek yang dipercayai warga tempatan bagaimanapun sudah meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.

 

“Hasil pemeriksaan polis dalam rumah itu menemui lima butir bom buatan sendiri, bahan-bahan litar elektrik serta belerang yang digunakan untuk membuat bom.

 

“Polis turut menemukan kotak berwarna hitam berisi sejumlah dadah jenis syabu serta pil ekstasi,” katanya, hari ini.

 

Mohd Zani berkata, semua bahan letupan itu dibawa ke kawasan lapang berdekatan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia bagi kerja memusnahkan semua bom berkenaan.

 

Beliau berkata motif bahan letupan itu dibuat masih disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. – BHarian



This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.