Pemain Melaka Dipanah Petir Kini Stabil

Idris HARON dan isteri, Datin Fadilah Abdullah melawat Marco Stefan MELAKA – Penjaga gol simpanan Melaka United (MU), Marco Stefan Petrovski kini dalam keadaan stabil selepas tidak sedarkan diri akibat dipanah petir ketika menjalani latihan di Padang 10, Kompleks Sukan Hang Jebat kelmarin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang melawat Petrovski di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka semalam berkata, beliau dimaklumkan oleh doktor bertugas bahawa pemain remaja berusia 18 tahun itu kini tidak membimbangkan.

Idris tiba di Hopsital Melaka kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam untuk mengetahui perkembangan pemain kacukan Australia-Malaysia itu serta seorang lagi pemain, Muhammad Afiq Azuan, 21, yang turut terlibat dalam kejadian tersebut dan dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma.


“Stefan kini dalam pemerhatian pakar dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kita harap semua pihak mendoakan kesihatannya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu Idris berkata, Muhammad Afiq juga berada dalam keadaan stabil dan masih ditahan untuk pemantauan, selain mengadu pening.

Idris yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berkata, pihaknya menyediakan tiket penerbangan untuk ibu serta bapa Petrovski yang kini berada di Portugal dan Australia untuk datang melawat anak mereka.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang kelmarin ketika Petrovski dan Muhammad Afiq hampir selesai menjalani latihan bersama skuad Piala Presiden Melaka sebelum dipanah petir ketika berada di tepi padang. Jurulatih, G. Torairaju dan ahli fisioterapi pasukan, Ahmad Faisal Miswan turut terkena tempias panahan itu, namun masing-masing tidak mengalami kecederaan.

Comments

comments

ep2p-2