Mahukah Mahathir Terima Nasihat Di Usia Tuanya?


Penulis agak hairan dengan prestasi otak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak akhir-akhir ini. Bukan saja ‘mudah lupa’, malah daya beliau berfikir seolah-olah merosot teruk hingga ke peringkat yang amat membimbangkan.

Lagi-lagi beliau menjaja cerita tentang dana RM2.6 bilion. Walau sudah dijelaskan, tapi beliau seolah-olah ‘lupa’ dengan penjelasan yang diberi. Mahathir ingat hari ini hari apa? Berapa kali perlu dijelaskan pada beliau tentang RM2.6 bilion?

Untuk kesekian kalinya diperjelaskan semula tentang ‘RM2.6 bilion’ tersebut. Dana tersebut berasal dari Arab Saudi. Ia merupakan sumbangan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak secara peribadi dari Keluarga DiRaja Arab Saudi.

Perkara berkenaan sudah dijelaskan dan diakui oleh Menteri Luar Arab Saudi baru-baru ini, walaupun ia sudah pun diperjelas sebelumnya oleh salah seorang kerabat DiRaja Arab Saudi. Sumbangan tersebut adalah ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Mahathir faham apa erti ikhlas?

Jadi, yang dituduh sebagai ‘Arab Gila’ oleh Mahathir sebelum ini adalah Keluarga DiRaja Arab Saudi. Yang dikutuk sebagai ‘Arab Mabuk’ oleh Mahathir sebelum ini juga adalah Keluarga DiRaja Arab Saudi. Mahathir tidak punya rasa bersalahkah membuat tuduhan sedemikian?

Dengan pengakuan dari Arab Saudi itu, maka jelaslah bahawa dana RM2.6 bilion yang diceduk Mahathir dari Sarawak Report itu tiada kena mengena dengan 1MDB. Ia adalah sumbangan secara langsung kepada akaun Najib.

Kenapa? Mahathir cemburu dapat tahu Najib begitu dihargai dan diberi dana politik peribadi sebanyak itu? Mahathir iri hati sebab Arab Saudi tidak menyumbang ke akaunnya sebanyak itu sebelum ini? Di usia lanjut pun masih belum buang sikap ‘dengki’?

Apa masalahnya jika Najib dapat RM2.6 bilion sebagai sumbangan politik peribadi? Pada pandangan penulis, jika Najib terima RM100 juta trilion pun maka ia adalah sesuatu yang tidak menghairankan.

Menurut undang-undang negara, sesiapa pun bebas untuk menerima sumbangan dana politik dari mana-mana pihak, termasuklah pemimpin dari parti-parti pembangkang. Sama ada PKR, DAP, PAN atau PAS, mahupun para pemimpin parti tersebut, mereka pun pernah menerima dana sumbangan politik. Tak payah tipulah!

Yang membezakan antara parti-parti di negara kita hanyalah sumber dana tersebut, kepada parti atau akaun siapa, dan berapa jumlah yang disumbangkan. Sebagai contoh, mungkin PKR terima dana dari proksi Yahudi, DAP mungkin terima dana dari Singapura dan PAN mungkin terima dana dari Iran. Itu hanya sekadar contoh sahaja…

Dari sudut perundangan, tidak salah menerima sumbangan politik dari luar negara asalkan ia dilakukan mengikut tatacara dan peraturan yang ditetapkan Bank Negara. Ia adalah sulit dan dirahsiakan dari pengetahuan umum bagi menjaga kepentingan penyumbang dana dan penerima dana.

Jadi, RM2.6 bilion yang diterima Najib ke akaun beliau adalah sumbangan politik sahaja. Ia bukan wang rakyat seperti yang cuba dimomokkan puak-puak tidak bertanggungjawab itu. Wang itu milik Presiden UMNO itu dan terserahlah bagaimana beliau hendak belanjakan wang tersebut.

Di zaman Mahathir dulu, khabar angin mengatakan beliau juga terima dana dari ramai pihak. Tidak tahulah bagaimana kaedah atau cara dana itu sampai kepadanya, namun dikatakan memang dana politik kepada Mahathir itu memang wujud.

Desas-desus itu turut mengaitkan Mahathir dengan ramai pihak seperti Eric Chia, Vincent Tan, Lim Goh Tong, Francis Yeoh, Ting Pek Khiing, Syed Mokhtar AlBukhary dan ramai lagi. Tidak pasti sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

Jika ditanya, apakah beliau mahu mengaku dan jelaskan cara beliau terima dana politik dulu? Apakah duit yang Mahathir terima sebagai sumbangan politik dulu juga layak dikategorikan sebagai ‘duit rakyat’? Boleh beliau jelaskan?

Bila orang nasihat supaya ‘sudah-sudahlah tabur fitnah’, Mahathir tetap degil tidak mahu mengalah. Mungkin kerana ego terlalu tinggi dan rasa dirinya saja yang betul, maka nasihat tersebut tidak diendahkan.

Penulis cuma ingin ingatkan Mahathir tentang hukum hakam Islam yang beliau perlu patuhi, tentang dosa memfitnah dan menjaja fitnah. Berat hukumannya dari sudut agama. Terserahlah jika Mahathir mahu ‘langgar’ agama sekalipun, itu hak beliau. Penulis sekadar ingatkan saja… – AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-5small