Lebuhraya Pan Borneo Beri Impak Pembangunan Untuk Jangka Masa Panjang – PM

SIBU – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai manifestasi pembangunan yang berupaya meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi rakyat negeri ini.

 

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek infrastruktur mega itu menghasilkan impak besar bagi tempoh panjang, malah setimpal dengan pelaburan dikeluarkan kerajaan bagi membinanya.

 

“Ia bukan sahaja menguntungkan syarikat besar tetapi turut mewujudkan peluang pendapatan kepada kontraktor kecil, terutama milik Bumiputera Sarawak yang terbabit dalam pembinaan lebuh raya itu.

 

“Projek Lebuhraya Pan Borneo besar ertinya kepada negeri ini dan rakyat yang menunggu puluhan tahun untuk menikmati sistem perhubungan darat lebih selesa serta moden.

 

“Kita berbangga dapat menunaikan impian itu, sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menepati janjinya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fasa Keempat Projek Lebuhraya Pan Borneo – Jajaran Simpang Bintangor ke Jambatan Sungai Kua, di sini semalam.

 

Yang hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

 

Pada majlis yang sama, Najib turut menyerahkan surat tawaran membabitkan kerja pembinaan fasa keempat lebuh raya itu kepada 78 kontraktor Bumiputera Sarawak.

 

“Ini penting supaya penduduk tempatan berasakan projek ini milik mereka dan menjadi sebahagian dari pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya. – BHarian



This entry was posted in Terkini, Utama. Bookmark the permalink.