Khairul Idham Cipta Sejarah Menang MotoGP Dunia, ‘Mengganas’ Sejak Berusia 14 Tahun

Khairul Idham Pawi mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal pagi tadi.

Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622 saat dan 42’5.512 saat.

Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.

“Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini dan teruja dengan kemenangan pertama ini. Saya tidak rasa tertekan. Saya mencuba yang terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan,” katanya.

Pelumba muda ini mencipta pusingan keempat terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu tetapi turun ke tangga ketujuh dalam grid permulaan selepas menerima penalti kerana mengayuh perlahan dalam sesi latihan bebas pada Jumaat.

Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 poin untuk berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan lima poin selepas leg kedua kejohanan.

Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat akan menjadi leg ketiga dari 8 hingga 10 April ini.

Seawal usia 14 tahun, Khairul Idham Pawi sebenarnya sudah memberi amaran bahawa kehadirannya dalam saingan dunia pemotoran bukan sekadar angan-angan kosong.

Pertama kali menyertai perlumbaan motosikal dengan berlumba pada Kejuaraan Cub Prix AAM Petronas, kategori Wira dengan menduduki tangga ke-11 keseluruhannya pada tahun 2012.

Sejak itu, pelumba muda kelahiran Kampung Gajah, Perak tidak menoleh ke belakang dan tanpa jemu berusaha untuk menguasai kedudukan terbaik dalam setiap perlumbaan yang disertainya.

Malah pada Mac 2012, Khairul Idham antara 26 remaja yang terpilih bagi mengikuti pemilihan bersama Akademi Perlumbaan Honda anjuran Boon Siew Honda Sdn Bhd bertempat di Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Khairul Idham ketika menyertai Akademi Perlumbaan Honda.

Tidak hairanlah jika Khairul Idham mengambil masa yang singkat untuk berjaya memandang dia menerima pendedahan asas teknik perlumbaan daripada Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan juara Suzuka 4-hour Endurance  2011, Mohd Emir Firdaus Hasan ketika menyertai akademi itu.

Setahun selepas bejinak-jinak dengan Cub Prix, Khairul Idham terus mencatat keputusan memberangsangkan untuk berada di tempat ke-7 keseluruhan.

Tahun 2014 dianggap tahun bertuah buat Khairul Idham apabila meraih kejuaraan berganda dan membuat kejutan dengan menjuarai perlumbaan Asia Dream Cup (ADC) pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) dan merangkul trofi juara perlumbaan Cup Prix Wira.

Sebelum itu, pada penampilan sulung ADC, Khairul Idham meraih kedudukan keempat.

Penampilan berani Khairul Idham yang ketika itu berusia 16 tahun memberikannya peluang untuk menyertai Program Pembangunan bersama Honda Team Asia sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelumba Honda.

Dengan itu, impinnya untuk bergelar pelumba dunia semakin cerah apabila juara ADC itu telah menandatangani kontrak baharu bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menyaksikan Khairul Idham akan meneruskan karier perlumbaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa bersama jenama pengeluar motosikal dari Jepun itu sehingga tahun 2019.

Comments

comments


Khairul Idham Pawi, motogp, sukan

ep2p-5small