JDT jalin kerjasama dengan kelab Jepun

Ismail KARIM (kanan) bertukar dokumen denga Yoshikazu Nonomura JOHOR BAHRU 25 April – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi tumpuan kelab bola sepak luar negara untuk menjalin kerjasama dan terkini usahasama itu dijalin dengan kelab bola sepak dari Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo.

Perjanjian JDT dan Hokkaido Consadole Sapporo itu di­meterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) selama lima tahun membabitkan kerjasama khususnya daripada pembangunan bola sepak kedua-dua kelab ber­kenaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, perjanjian itu akan tertumpu kepada pembangunan akademi bola sepak, termasuk pertukaran pemain, jurulatih dan perlawanan persahabatan.

“Kelab dari Jepun itu juga akan menyertai sesi latihan bersama pasukan utama,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangi MoU antara Kelab JDT dan Kelab Hokkaido Consadole Sapporo di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.


Ismail turut menyifatkan kerjasama tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain Harimau Selatan, terutama pemain muda, sekali gus diharap dapat melahirkan pemain bola sepak yang mempunyai kualiti lengkap di masa akan datang.

Tambahnya, dalam tempoh lima tahun, kedua-dua pihak juga akan berkongsi idea dan informasi berkaitan bola sepak sejajar dengan usaha memperkukuh kerjasama berterusan antara kedua-dua kelab ber­kenaan.

Katanya lagi, JDT juga bertuah kerana Hokkaido Consodale Sapporo baru dipilih oleh Persatuan Bola­sepak Jepun (JFA) untuk mewujudkan sebuah akademi antara yang terbaik di Jepun.

Sementara itu, Pre­siden Kelab Hokkaido Consadole Sapporo, Yoshikazu Nonomura berkata, beliau gembira dengan kerjasama berkenaan terutama dalam menjayakan program pembangunan membabitkan pemain muda Harimau Selatan.

Nonomura memberitahu, Johor Bahru, terutamanya stadium Larkin mempunyai tempat istimewa kepada rakyat Jepun kerana pasukan kebangsaan mereka pernah beraksi bagi kelayakan Piala Dunia 1998 di sini.

utusan

Comments

comments

ep2p-5small