JAKIM Hantar 300 Penggerak Masyarakat Ke Kampung Orang Asli

TEMERLOH ― Seramai 300 individu dilantik sebagai penggerak masyarakat dalam usaha memperkasakan pemahaman Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin berkata rata-rata yang terpilih untuk melaksanakan tugas berkenaan merupakan anak Orang Asli kerana mereka dilihat lebih memahami adat dan budaya kaum itu.

 

“Penggerak masyarakat ini bergerak ke kampung-kampung Orang Asli yang beragama Islam di seluruh negara dengan fokus untuk memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai Islam.

 

“Ini bagi memastikan pegangan agama mereka lebih mantap dari segi akidah, ibadat dan akhlak. Mereka juga membantu masyarakat dalam urusan penting seperti perkahwinan dan kematian supaya disempurnakan mengikut ajaran Islam yang sebenar.

 

“Penggerak ini juga tidak melaksanakan tugas sendiri tetapi turut dibantu oleh mubaligh dari Jabatan Agama Islam di setiap negeri supaya objektifnya tercapai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sumbangan Zakat UMW Holdings dan Program Jalinan Ukhuwah Kampung Orang Asli Paya Mengkuang di sini hari ini.

 

Pada majlis itu, pihak UMW yang diwakili Muzafar Munzir, Ketua Bahagian Perkhidmatan Kumpulan Syarikat UMW Corporation Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan zakat buat julung kalinya kepada 60 keluarga asnaf Orang Asli dari lima kampung berdekatan.

 

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ghazali Abdul Aziz.

 

Razali berkata daripada jumlah itu seramai 52 orang akan bertugas di Pahang memandangkan negeri ini dihuni ramai masyarakat Orang Asli.

 

“Keutamaan sememangnya diberikan kepada anak Orang Asli yang berpelajaran dan ini akan meningkatkan keberkesanan dari segi penyampaian,” katanya. ― Bernama



This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.