Barcelona ingin ‘beri hadiah’ kepada Johan Cruyff

SEORANG penyokong Barcelona memberikan penghormatan kepada mendiang MADRID – Memenangi perlawanan Clasico dengan Real Madrid pada hujung minggu ini akan menjadi cara terbaik untuk menghormati mendiang Johan Cruyff, kata pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta.

Legenda bola sepak Belanda itu, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada usia 68 tahun Khamis lalu, dianggap sebagai watak penting dalam era kejayaan Barcelona menjulang trofi sama ada sebagai pemain atau jurulatih.

“Sangat bagus untuk mengalahkan Madrid dan mendedikasikan kemenangan kepada Cruyff. Ba­nyak sumbangannya kepada kami, peminat dan dunia bola sepak,” kata Iniesta dalam sidang akhbar di Barcelona.

Barcelona berkata mereka akan memberikan penghormatan kepada Cruyff sebelum perlawanan di Nou Camp, di mana 90,000 kad mozek yang memaparkan ‘Gracies Johan’ (Terima Kasih Johan) dalam bahasa Catalan akan dipegang peminat.

Pemain kedua-dua pasukan akan memasuki padang disertai kanak-kanak memakai baju dengan mesej yang sama di bahagian depan dan dengan nama Yayasan Cruyff dan Barcelona di belakang.


Sebelum sepak mula, mereka akan bertafakur selama seminit dan tayangan video Cruyff dalam ingatan akan dimainkan pada skrin besar stadium. Kesemua lapan pre­siden Barcelona yang masih hidup dijangka menghadiri perlawanan Sabtu ini.

“Perlawanan itu akan menjadi istimewa dan diharap memberi motivasi tambahan kepada kami,” kata Iniesta.

Barcelona menganjurkan acara berkabung selama empat hari untuk mengingati Cruyff dan berkata lebih daripada 60,000 peminat telah melawat tugu peringatan pemain di Camp Nou minggu ini. Bekas bintang mereka itu meninggal dunia selepas lima bulan bertarung dengan kanser.

Kelab Catalan itu akan memulakan perlawanan dengan kelebihan sembilan mata ke atas pasukan di tempat kedua Atletico Madrid dan 10 mata di depan Real Madrid.

Kemenangan Barca akan menyebabkan Real hampir pasti tersingkir daripada perebutan gelaran juara dengan musim ini berbaki tujuh perlawanan selepas jadual minggu ini. – AP