Angka Korban Gempa Bumi Ecuador Meningkat Kepada 413 Orang

LA ESMERALDA – Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda Ecuador pada Sabtu lepas telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 413,AFP melaporkan pada Isnin.

 

“Berdasarkan kiraan kami, 413 orang telah terkorban setakat ini,” kata pegawai dari kementerian keselamatan negara tersebut.

 

Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa walaupun menyedari harapan menemui mereka yang masih hidup tipis.

 

Gempa bermagnitud 7.8 pada skala Richter itu merosakan kebanyakan bangunan dan kawasan perumahan berkepadatan tinggi.

 

Pertubuhan Palang Merah Sepanyol dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 100,000 mangsa terjejas akibat gempa bumi itu memerlukan bantuan.

 

Katanya lagi, tiada angka rasmi berhubung jumlah penduduk yang terjejas namun dianggarkan antara 70,000 hingga 100,000 mangsa.

 

Katanya, antara 3,000 hingga 5,000 penduduk memerlukan perumahan sementara selepas gempa meranapkan tempat tinggal mereka.

 

Gempa bumi itu berlaku pada 6.58 petang Sabtu, dengan pusat gempa dikesan pada kedalaman 10 kilometer di barat laut pantai Ecuador.

 

Ecuador mengisytiharkan darurat di enam wilayah dan mengerahkan kira-kira 14,000 anggota tentera serta pasukan keselamatan ke kawasan terjejas. – Awani