3 Helikopter Mendarat Di Kebun Kerana Harum Manis

KUALA LUMPUR – Gempar apabila tiga helikopter mendarat di kebun, Kampung Padang Asam, Perlis, semata-mata untuk menikmati Harum Manis, semalam.

 

Pengusaha kebun mempelam Harum Manis Tok Wa Man, Che Jan Che Seman, 63, ketika dihubungi SuaraTV berkata, pada mulanya dia tidak menyangka akan menerima kunjungan yang diwakili sembilan kenalannya itu.

 

“Saya hanya dimaklumkan ada dua buah helikopter yang akan mendarat di sini. Tak sangka pula yang datangnya tiga buah.

 

“Kesemua rombongan yang datang adalah untuk menikmati Harum Manis yang dihidangkan bersama pulut dan teh tarik,”katanya yang sangat gembira menerima kunjungan tersebut.

 

Mengakui pada tahun ini hasil tanaman itu tidak berapa menjadi disebabkan cuaca panas yang dialami di seluruh negara, namun Che Jan sangat bersyukur kerana Allah s.w.t masih memberikannya rezeki.

 

“Hampir 200 pokok mampu lagi menghasilkan 2000 biji Harum Manis walaupun tidak seperti jumlah kebiasaannya,”ujarnya.

 

Menurut Che Jan, orang ramai juga boleh menunjungi kebun tersebut bagi merasai sendiri kelazatan Harum Manis yang menjadi bualan ramai sehingga pertengahan Mei nanti.

 

“Saya berharap selepas ini, orang ramai boleh datang dan mencuba sendiri Harum Manis ini selagi musimnya masih ada sehingga 15 Mei ini.

 

“Kami memang menyediakan pakej pulut yang dihidangkan bersama Harum Manis beserta minuman teh tarik, sambil menikmati udara yang cukup baik di sini,”katanya.

 

Pengunjung yang berminat untuk merasai Harum Manis itu boleh mengunjungi kebun Harum Manis Tok Wa Man di alamat, Lot 352, Kampung Padang Asam, Perlis atau menghubungi Che Jan di talian 013-2131060.

 

Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Mohd Fazli Zainul Abidin, telah memuat naik status perkongsiannya mengenai tiga helikopter yang mendarat di kebun itu sambil memuji kehebatan penangan Harum Manis milik Che Jan.

 

“Rezeki pengusaha Perlis,”tulisnya.-SuaraTV