Video: Pemuda Amanah Desak KJ Jelaskan Dakwaan Tajaan Umrah

PUTRAJAYA – Pemuda Parti Amanah, mendesak Menteri Belia Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan dakwaan tajaan umrah yang mengaitkan dirinya dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh laporan yang dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tengahari tadi.

 

Ketua Pemudanya, Sany Hamzan berkata, tuntutan tersebut adalah berkaitan penglibatan Khairy terhadap tajaan sejumlah RM1.4 juta dalam menaja hampir 91 orang Ketua Pemuda Umno bahagian seluruh negara bagi mengerjakan ibadah umrah.

 

“Kalau dalam masa sepuluh hari ini kita tidak menerima maklumbalas daripada Khairy, kita akan menggerakkan usaha untuk meminta semua pemuda-pemuda amanah di semua peringkat kawasan untuk membuat satu laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara.

 

“Kita  bukan sahaja mendesak pihak SPRM dan mungkin juga pihak polis untuk melakukan segera satu siasatan bagi menyiasat isu berkaitan dengan tuduhan yang dilibatkan dengan Khairy, “katanya.

 

Beliau berkata, Khairy mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan akauntabiliti kepada negara dan umum daripada sumber tajaan tersebut.

 

“Samada ia daripada pendapatan beliau sendiri atau sumbangan daripada mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa kepentingan.

 

“Ia bagi menjamin integriti dan ketelusan pentadbiran negara ini memandangkan jumlah yang dilibatkan ini adalah satu jumlah yang besar,”katanya.

 

Menurutnya lagi, Khairy juga boleh dianggap mempunyai kepentingan dengan penerima tajaan daripada status beliau sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia dan salah seorang Jemaah Menteri Malaysia.

 

“Oleh demikian saya membuat laporan ini bagi menggesa satu siasatan beba  menyeluruh dijalankan segera oleh pihak SPRM bagi menyiasat sumber dan tujuan tajaan ini.

 

“Kerana dikhabarkan bahawa mereka sudah berada di tanah suci, pada 1 Mac yang lalu,”katanya.

 

SuaraTV sebelum ini melaporkan kenyataan sumber Pemuda Umno yang mendedahkan tajaan umrah yang dibuat oleh Khairy dan ia turut diakui Exco pergerakan itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin.

 

Terdahulu Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin turut melahirkan rasa kecewa dengan pendekatan Pemuda Umno yang mengunakan ibadah umrah sebagai alat dagangan demi menjaga kepentingan politik dan jawatan.

 

Menurutnya beliau kesal dengan tindakan itu sambil menyifatkan ia sebagai ‘budaya baru’ Umno untuk menjaga kepentingan politik. – SuaraTV